Thursday, January 10, 2013

Tender terbuka jimatkan wang rakyat RM102.2 juta

Tender terbuka jimatkan wang rakyat RM102.2 juta Harakahdaily, 10 Jan 2013 SHAH ALAM: Amalan tender terbuka bagi projek-projek kerajaan negeri yang dipratikkan kerajaan Selangor sejak 2008 telah berjaya melahirkan kontraktor Bumiputera yang kompetitif dan berkualiti. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ini sekali gus menolak tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa amalan tender terbuka akan menyusahkan kontraktor Bumiputera mendapat projek kerana perlu bersaing dengan kontraktor bukan Bumiputera. Beliau berkata, tender terbuka dapat memastikan kontraktor yang terpilih berkelayakan dan berkemampuan menyiapkan sesuatu projek dalam tempoh yang ditetapkan berbanding amalan pemberian kontrak secara runding terus yang dipratikkan kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum ini yang terdedah kepada penyelewengan. “Tender terbuka membuktikan bahawa amalan yang dipratikkan kerajaan negeri ini betul kerana kita mendapat harga yang rendah tetapi berkualiti. Justeru, tidak betul dakwaan bahawa kontraktor Bumiputera sukar mendapat projek kerajaan menerusi menerusi tender terbuka,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jejantas Pejalan Kaki di Persiaran Kewajipan yang menghubungkan SS13 dengan SS14, Subang Jaya, hari ini. Jejantas itu disiapkan oleh kontraktor Bumiputera, Aminsa Bina Sdn Bhd. Projek pembinaan dimulakan pada 27 Dis 2011 dan siap sepenuhnya 24 Dis 2012 dengan kos sebanyak RM1.35 juta menggunakan peruntukkan negeri yang disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor di bawah program meningkatkan keselamatan jalan-jalan negeri. Menteri Besar berkata, beliau berbangga dengan kontraktor Bumiputera itu yang berjaya menyiapkan jejantas berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan dengan kos munasabah. Kerajaan Selangor berjaya menjimatkan RM102.2 juta menerusi tender terbuka melibatkan 63 projek sepanjang 2012. Ini menepati konsep ‘value for money’ yang diterapkan dalam pentadbiran dan pengurusan kewangan negeri. Sementara itu, ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, pembinaan jejantas itu telah dijanjikan oleh Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2008 tetapi tidak dilaksanakan dengan alasan tiada peruntukkan. “Saya pernah membawa cadangan pembinaan jejantas ini kepada pihak yang berkenaan tetapi alasan diberi ialah tiada peruntukkan dan pembinaannya hanya janji peribadi bekas seorang menteri kabinet,” katanya. Jejantas ini akan diselenggara JKR Negeri Selangor dan akan dipasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk keselamatan pengguna. http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/15852--tender-terbuka-jimatkan-wang-rakyat-rm1022-juta Ulasan: Artikel ini mungkin berguna kepada juruukur bahan (QS) dalam melatih kontraktor Bumiputra supaya pandai menguruskan projek. Bukan hanya pandai jual projek.

No comments: