Tuesday, January 1, 2013

Radioaktif Lynas: Akhirnya Kerajaan BN Akui Berbahaya

Radioaktif Lynas: Akhirnya Kerajaan BN Akui Berbahaya JUMAAT, 02 DISEMBER 2011 02:59 Setelah berbulan-bulan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berdolak-dalih mempertahankan projek Lynas yang menghasilkan radioaktif merbahaya di Gebeng, Pahang, akhirnya kementerian itu mengajui projek tersebut tidak begitu selamat kepada alam sekitar. Demikian ditegaskan oleh ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang menyambut baik kenyataan Setiausaha MITI Datuk Rebecca Sta Maria yang menyatakan bahawa Lynas mesti mematuhi peraturan sebelum lesen pra-operasi boleh dikeluarkan ke atas LAMP sewaktu beliau melawat kilang itu di Gebeng 30 November lalu. “Menteri MOSTI sudah pun mengaku di Dewan Rakyat, sewaktu sessi penggulungan peringkat jawatankuasa bajet bahawa sisa WLP berkadar radioaktiviti 6Bq/g (laporan IAEA ms 13) dari kilang LAMP diklasifikasikan sebagai sisa buangan radioaktif. “Ini bertentangan dengan kenyataan mereka sebelum ini yang bertegas mengelirukan rakyat mengatakan bahawa sisa dari LAMP adalah selamat, boleh ditabur di merata-rata tempat di samping merupakan sisa industri yang hanya mengandungi NORM (Normal occuring radioactive material) “Pengakuan Menteri Kementerian Sains dan Inovasi (MOSTI) jelas menunjukkan bagaimana pihak kerajaan selama ini hanya menjadi jurucakap Lynas dan menggunakan maklumat dari Lynas semata-mata. Malah Fact Sheet mengenai Lynas keluaran MITI juga merupakan input dari Lynas,” katanya dalam satu kenyataan media. Fuziah juga merujuk kepada laporan National Toxic Network Australia mengenai bahaya kebocoran radioaktif yang didedahkan oleh kerajaan negara itu yang dikatakan menyamai kadar radioaktif di Lynas sekiranya kilang itu beroperasi kelak. “Selepas terbitnya laporan National Toxic Network Australia berkenaan berlakunya kebocoran sisa radioaktif di Concentration Plant Lynas di Mt Weld, Australia baru-baru ini, saya ingin menegaskan bahawa kedudukan LAMP di Gebeng nanti dijangka akan membawa bahaya yang jauh lebih tinggi (hingga mengakibatkan malapetaka),” katanya. Tambah Fuziah, radioaktif yang dikeluarkan Lynas memang jauh lebih besar daripada kadar dibenarkan antarabangsa yang sesuai bagi manusia tinggal berhampiran dengannya. Oleh itu tidak sepatutnya kilang Lynas didirikan berdekatan dengan penempatan penduduk. Kadarnya seperti berikut: 1) Radioaktiviti sisa Lynas concentration plant di Mt Weld ialah dikadar 1.8 Bq|g sedangkan radioaktiviti sisa WLP solid di LAMP ialah pada kadar 6 Bq|g. Kadar maksimum yang diterima antarabangsa ialah 1Bq|g di mana Malaysia juga menerima pakai standard antarabangsa ini. 2) Di dalam jarak 30 kilometer radius di Lynas concentration plant di Mt Weld, tiada wujud penduduk sedangkan dalam 30km radius di Gebeng ada terdapat 700,000 penduduk. 3) Dalam jarak 25 km radius di Lynas Concentration Plant di Mt Weld, tiada terdapat air bawah tanah sedangkan di Gebeng, kedudukan LAMP ialah di atas tanah gambut yang paras airnya lebih tinggi dari kadar paras air biasa dan sungai Balok berkedudukan di sebelah Gebeng. LAMP juga terletak dalam 5km dari laut China Selatan, bersebelahan pusat peranginan Cherating yang menjadi tumpuan destinasi pelancongan. Di samping itu laut China Selatan juga merupakan sumber hasil ekonomi tempatan di mana industri perikanan juga merupakan sumber ekonomi utama. Kata Fuziah, dengan segala fakta itu kebocoran di LAMP akan meninggalkan impak yang cukup menghancurkan alam sekitar serta ekonomi di samping kesihatan penduduk. Tiada industri yang 100% bebas kemalangan dan LAMP tidak terkecuali. “Selama ini Lynas berselindung di sebalik kementerian MOSTI dan MITI dan tidak bersikap bertanggungjawab. Menteri di kedua kementerian sebelum ini hanya menekankan aspek radiasi luaran, mengikut rentak dan telunjuk Lynas. Malah aspek radiasi dalaman juga tidak dapat dijawab oleh Menteri sebelum ini. Saya tegaskan bahawa LAMP tidak wajar berada di Gebeng kerana situasi di Gebeng tidak akan boleh menepati dan mematuhi segala aspek keselamatan mengikut piawaian antarabangsa,” tegasnya. Ulasan: Kita faham untuk menolak projek pembinaan sebesar Lynas di Gebeng adalah sukar. Tetapi wajar diukur dari sudut keselamatan warga setempat kerana kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat.

No comments: