Tuesday, July 10, 2012

Kronisme BN: Projek kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang

Pada 21 Jun 2012, Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) telah mengadakan mesyuarat kelima bagi tahun 2012 (Bil 5/2012). JPMK adalah jawatankuasa tertinggi yang menentukan anugerah tender projek-projek besar kerajaan. Keanggotaannya adalah seperti berikut: 1. Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Ser Najib Tun Razak selaku Pengerusi, 2. Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Husni Hanadzlah, 3. Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abd Aziz Wan Abdullah, dan 4. Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Nozirah Bahari Mesyuarat tersebut telah memutuskan untuk melantik George Kent sebagai kontraktor bagi kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang pada harga RM1,180,037,624. Keputusan ini kemudiannya dimaklumkan kepada Dato’ Shahril Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana bagi tindakan beliau yang selanjutnya dalam satu surat bertarikh 25 Jun 2012 yang disertakan bersama. Pendedahan keputusan JPMK ini mengesahkan dakwaan KEADILAN sebelum ini bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak telah campur tangan di dalam proses penilaian dan penganugerahan tender kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang. Lebih mengejutkan, keputusan JPMK yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri itu membatalkan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa yang sama pada 25 Januari 2012 yang melantik kontraktor lain yang lebih layak. Saya mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak berterus terang dengan menjawab 3 soalan berikut, rentetan kenyataan tunggal beliau setakat ini kononnya proses anugerah tender ini mengikut prosedur yang betul: 1. Prosedur bahagian mana di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan sebuah syarikat yang telah jelas gagal di dalam penilaian teknikal diberikan tender bertentangan dengan keputusan jawatankuasa teknikal? 2. Prosedur bahagian mana di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan Perdana Menteri menganugerahkan projek pada harga yang lebih tinggi (harga George Kent adalah RM1.18 bilion berbanding harga Balfour Beatty pada RM1.01 bilion, iaitu lebih mahal sebanyak RM167 juta) kepada pembida yang gagal penilaian teknikal dan kewangan? dan 3. Prosedur bahagian mana di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan Perdana Menteri campur tangan sedemikian rupa di dalam anugerah tender besar seperti ini? Segala keputusan anugerah tender setakat ini membayangkan berlaku pergolakan dan menimbulkan lebih banyak persoalan. Apakah pertimbangan sebenar Dato’ Seri Najib yang sanggup membahayakan nyawa ratusan ribu orang ramai dengan melantik sebuah syarikat milik rakan karibnya yang hanya berpengalaman mengilang meter air untuk membina sistem LRT negara? Kenapa harga yang dianugerahkan kepada syarikat milik rakan karib beliau ini lebih mahal sebanyak RM167 juta sedangkan ada pembida yang dinilai layak kepakarannya pada harga yang lebih rendah? Apakah jumlah RM167 juta ini juga boleh dikaitkan dengan apa-apa pembayaran berbentuk komisen kepada mana-mana ahli politik Umno/BN, seperti mana wujudnya pembayaran komisen kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib semasa pembelian kapal selam Scorpene dahulu? Soalan-soalan ini akan terus berlegar dan akan memburukkan lagi imej Dato’ Seri Najib selagi ia tidak dijawab dengan jitu dan ikhlas oleh beliau. Pun begitu, saya percaya Dato’ Seri Najib akan terus membisu kerana itulah tindakan beliau setakat ini bila berdepan dengan skandal di dalam pentadbiran beliau. Oleh yang demikian, saya percaya tanggungjawab yang sama perlu digalaskan di bahu Dato’ Shahril Mokhtar sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana untuk mengesahkan bahawa George Kent telah dilantik sebagai kontrak bagi kerja-kerja pembinaan tambahan LRT Laluan Ampang, seperti mana yang diarahkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. MOHD RAFIZI RAMLI PENGARAH STRATEGI KEADILAN 10 JULAI 2012 P/S : Memandangkan dokumen ini dokumen sulit sila lihat di http://rafiziramli.com/2012/07/jawatankuasa-perolehan-menteri-kewangan-telah-menganugerahkan-tender-kepada-george-kent/ Sumber: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=392627550786813&set=a.310968618952707.67527.310631758986393&type=1

Monday, July 9, 2012

George Kent yang GAGAL penilaian dapat projek LRT Ampang?

Revolusi Anak Muda Malaysia [ R.A.M.M ] Penilaian bidaan untuk kerja-kerja tambahan LRT Ampang dibuat oleh sebuah syarikat perunding kejuruteraan bernama HSS Integrated Sdn Bhd. Syarikat ini adalah syarikat bersekutu yang menggunapakai kepakaran Halcrow, salah sebuah perunding kejuruteraan terkemuka di dunia. Keseluruhan penilaian teknikal projek LRT Ampang bernilai lebih RM1 bilion ini dibuat oleh Halcrow. Keputusan penilaian telah dimaklumkan kepada Syarikat Prasarana Negara Berhad dalam sebuah laporan bertarikh September 2011 yang disertakan bersama.
Berdasarkan keputusan penilaian yang dibuat oleh Halcrow, Dato’ Shahril Mokhtar (Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana) telah menulis surat kepada Kementerian Kewangan bertarikh 12 Disember 2011 untuk memaklumkan hasil penilaian bidaan kepada Jawatankuasa Peroleh Menteri Kewangan (JPMK) yang dipengerusikan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri. Mukasurat 7 dan 8 dari surat itu yang menyenaraikan keputusan penilaian bidaan ada disertakan bersama. Ia secara jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja George Kent (pembida 3) gagal dari aspek kewangan (dikira tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk mengendalikan projek ini), konsortium itu juga adalah antara pembida yang mendapat penilaian teknikal yang terendah pada mata 38.62 sahaja (diragui kemampuan teknikal dan tidak berpengalaman mengendalikan projek seperti ini). Saya ingin memetik beberapa perkara penting hasil dari keputusan penilaian bidaan yang wajib diberikan perhatian serius oleh rakyat Malaysia, seperti yang termaktub di dalam laporan penilaian: 1. Mukasurat 14 – pembida George Kent dirumuskan tidak memahami kehendak teknikal projek (terutamanya dari segi koordinasi dan integrasi dengan sistem sedia ada), apatah lagi berkemampuan mengendalikan projek seperti ini; 2. Mukasurat 17 – pembida George Kent dirumuskan tidak mampu meyakinkan perunding bahawa mereka mempunyai kepakaran menjalankan projek ini secara sistematik dan disokong oleh sistem audit projek yang memuaskan; 3. Mukasurat 24 – pembida George Kent didapati tidak pernah mengendalikan projek besar, apatah lagi berpengalaman di dalam projek sebesar ini. Berbanding dengan pembida lain yang hampir kesemuanya pernah menyiapkan projek bernilai lebih RM1 bilion, projek terbesar pernah dikendalikan George Kent hanyalah bernilai RM40 juta, sedangkan pakej kerja-kerja tambahan LRT Ampang ini dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion; 4. Mukasurat 24 – pembida George Kent didapati tidak pernah terlibat di dalam projek melibatkan rel atau LRT; 5. Mukasurat 64 – pembida George Kent dirumuskan berada di tempat ketiga tercorot dari segi kemahiran dan pengalaman teknikal. Markah yang diperolehinya adalah lebih rendah dari purata markah keseluruhan pembida-pembida; dan 6. Mukasurat 72 – Halcrow merumuskan bahawa Panel Penilai Teknikal tidak yakin George Kent boleh mengendalikan projek itu dengan jayanya. Berdasarkan dokumen-dokumen ini, terbuktilah bahawa George Kent tidak mempunyai apa-apa kemahiran, kepakaran atau pengalaman yang melayakkannya dianugerahkan tender ini, kecualilah hubungan baik di antara George Kent dan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Lebih mengecewakan, keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak campur tangan dengan membatalkan keputusan jawatankuasa penilai memberi gambaran seolah-olah beliau tidak menghiraukan bahaya dan risiko keselamatan awam apabila projek sistem LRT diserahkan kepada syarikat yang langsung tidak tahu mengenai LRT. Jika niat Dato’ Seri Najib Tun Razak ini diteruskan, bermakna ratusan ribu rakyat yang menaiki LRT Ampang saban hari kini berada di dalam keadaan bahaya. Saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak menjelaskan apakah pertimbangan beliau yang mendorong beliau membahayakan keselamatan rakyat dengan menganugerahkan kerja-kerja ini kepada George Kent yang ternyata tidak layak. MOHD RAFIZI RAMLI PENGARAH STRATEGI KeADILan Sumber: fb Revolusi Anak Muda Malaysia [ R.A.M.M ]