Wednesday, August 15, 2007

PENGLIBATAN TENAGA KERJA TEMPATAN DI SEKTOR PEMBINAAN DI MALAYSIA - SATU TINJAUAN

Yahya Buntat, Muhammad Rashid Rajuddin, Zakaria Mohd Yusof
Universiti Teknologi Malaysia, UTM Skudai 81310, Johor, Malaysia

Kertas kerja ini telah di bentangkan dalam International Conference on Construction Industry, 21-24 Jun 2007, di Universitas Bung Hatta, Padang, Indonesia.

ABSTRAK: Industri pembinaan di Malaysia telah mengalami kekurangan tenaga kerja yang kritikal. Sumber tenaga kerja tempatan tidak dapat menampung permintaan tenaga kerja binaan yang semakin meningkat. Ini menyebabkan kontraktor lebih cenderung untuk mengambil tenaga kerja asing. Pengambilan tenaga kerja asing yang terlalu ramai telah menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan taburan tenaga kerja binaan di tapak bina. Keadaan ini telah membawa kepada pelbagai implikasi yang negatif terhadap industri pembinaan itu sendiri. Tujuan kertas kerja ini ialah untuk mengenal pasti sejauh mana penglibatan tenaga kerja binaan tempatan dan tenaga kerja asing di tapak binaan mengikut tred binaan. Kajian telah dijalankan melalui kaedah tinjauan soal selidik terhadap 10 buah tapak bina di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Hasil kajian menunjukkan tenaga kerja asing didapati memonopoli hampir keseluruhan tred dibandingkan dengan tenaga kerja tempatan.

Katakunci: Tenaga Kerja binaan, taburan tenaga kerja, latihan kemahiran, tred.

1. PENGENALAN

Malaysia kini memasuki abad ke-21, program pembangunan sumber manusia akan terus menjadi matlamat utama dalam memastikan semua rakyat berkongsi kemakmuran negara. Kini pembangunan ekonomi yang berasaskan pengetahuan akan mempengaruhi arah aliran pertumbuhan permintaan terhadap tenaga kerja pada masa hadapan. Sehubungan dengan itu, keutamaan akan diberi kepada penekanan terhadap peluang pendidikan dan latihan yang berkualiti bagi menyokong pembangunan ekonomi yang berasaskan pengetahuan tersebut seperti yang dirancangkan dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) (Dasar Wawasan Negara, Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga-Ucapan Perdana Menteri bahagian enam).

Kepentingan tenaga kerja mahir terutamanya tenaga kerja binaan tidak dinafikan kepentingannya, di mana negara terpaksa membina institusi-institusi latihan kemahiran yang banyak bagi menampung permintaan yang semakin bertambah terhadap tenaga kerja mahir. Menurut Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2), negara telah mencapai tahap guna tenaga penuh mulai 1993 dan kadar penggangguran dapat dikekalkan pada tahap yang rendah walaupun semasa krisis ekonomi pada tahun 1997 hingga 1998 (RRJP3). Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun ke arah menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020, Malaysia amat memerlukan tenaga mahir yang ramai (Berita Harian, 13 Ogos 1992).

Tenaga kerja merupakan salah satu aset yang terpenting di dalam industri pembinaan selain daripada modal, mesin, bahan dan kepakaran. Tenaga kerja di sektor pembinaan boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan utama iaitu tenaga kerja am, tenaga keja separuh mahir dan tenaga keja mahir. Walaupun keperluan tenaga keja ini amat penting di dalam industri pembinaan tetapi negara terpaksa mengimport tenaga keja asing daripada negara jiran untuk menampung kekurangan tenaga keja tempatan yang semakin kritikal. Perkara tersebut, mungkin berpunca daripada pemikiran masyarakat kita sendiri di Malaysia yang memandang rendah dan kotor terhadap tenaga keja binaan ini. Pada masa hadapan, kumpulan pekerja ini akan menjadi pekerja elit kerana bertanggungjawab menggerakkan sebahagian besar jentera pembangunan terutamanya di sektor binaan. Seiring dengan langkah tersebut kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memperuntukan RM15 juta untuk melatih 18,000 pekerja mahir tempatan dalam industri pembinaan. Menurut Mohamed Khaled Nordin, usaha itu adalah strategi kerajaan untuk meningkatkan jumlah pekerja mahir tempatan dan kemahiran yang dimiliki dalam sektor pembinaan. Langkah tersebut diharap dapat membantu hasrat kerajaan untuk mengurangkan pengantungan terhadap buruh asing (Utusan Malaysia, 13 Disember 2000).

2. ISU DAN MASALAH

Industri pembinaan pada tahun 2002 menyaksikan peningkatan kontrak-kontrak daripada kedua-dua sektor awam dan swasta hasil daripada langkah-langkah penyuntikan bernilai RM7.3 billion yang diperkenalkan oleh kerajaan. Berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, sektor pembinaan dijangka berkembang 4.3 peratus tahun 2002. Sektor ini berjaya meningkat sebanyak 1 peratus pada tahun 2003 selepas menghadapi tempoh sukar sejak krisis kewangan pada tahun 1997.

Hasil daripada kerancakan pertumbuhan industri binaan tempatan, sektor ini memerlukan guna tenaga kerja yang banyak disamping mempunyai kemahiran dan terlatih, ia juga berupaya menghasilkan kerja yang berkualiti dalam tempoh masa dan kos yang dikehendaki di dalam penyiapan projek tersebut. Walaubagaimanapun pada hakikatnya, Malaysia pada hari ini sangat bergantung pada tenaga kerja asing. Pengambilan tenaga kerja asing ini mendatangkan pelbagai masalah antaranya kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi piawaian yang dikehendaki oleh klien. Menurut laporan ekonomi, kerajaan telah meluluskan pengambilan sebanyak 93,025 tenaga keja asing pada tahun 2002 bagi memastikan perkembangan perniagaan tidak terjejas disebabkan kekurangan tenaga keja tempatan. Pengambilan tenaga kerja asing tersebut adalah meliputi tiga sektor utama iaitu sektor pembinaan, pertanian dan perkilangan.

Berdasarkan kepada isu dan masalah di atas, kertas kerja ini bertujuan untuk meninjau sejauh manakah penglibatan tenaga kerja tempatan dan asing di sektor pembinaan berdasarkan kepada tred-tred tertentu yang terdapat dalam kerja bangunan.

3. KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini akan memberi gambaran sebenar sejauh manakah tenaga kerja tempatan melibatkan diri di sektor binaan. Gambaran ini akan membantu pihak-pihak yang terlibat dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir tempatan bagi membuat penilaian semula jika perlu, apakah bentuk pendekatan yang harus diambil bagi memastikan lulusan yang menamatkan latihan memasuki pasaran sebenar mengikut bidang kemahiran yang dimiliki. Kajian ini juga boleh dijadikan sandaran sekiranya strategi jangka pendek dan jangka panjang perlu disediakan. Strategi ini penting bagi memastikan lulusan yang dilatih diterima majikan (kontraktor binaan) dan pada masa yang sama usaha ke arah menarik minat lepasan sekolah untuk menceburkan diri di sektor binaan perlu dirangka di peringkat lebih awal lagi.

4. METODOLOGI

Kajian ini dilaksanakan mengikut tred-tred yang ditetapkan oleh CIDB. Sebanyak 10 tapak binaan telah dikenal pasti sebagai sampel untuk dibuat tinjauan. Data-data yang diperolehi melalui soal selidik, dianalisis bagi melihat peratusan di antara tenaga kerja tempatan dan tenaga kerja asing secara keseluruhan dan berdasarkan tred.

Berdasarkan taburan bilangan tenaga kerja tempatan dan asing, dapatlah diketahui sejauh manakah tenaga kerja asing memenuhi tapak pembinaan dan sejauh manakah pula penglibatan warga tempatan menceburi sektor pembinaan ini. Dalam kajian ini, hanya lapan tred atau tukang sahaja dikaji memandangkan tred ini merupakan tred utama yang menjadi tunggak pembinaan sesuatu projek bangunan iaitu;
           a. Tukang konkrit
           b. Tukang Bata
           c. Tukang Lepa
           d. Tukang besi
           e. Tukang Jubin
           f.  Tukang Cat
           g. Tukang Cermin
           h. Tukang Kayu

5. SOROTAN LITERATUR

5.1 Tenaga Kerja Binaan di Malaysia

Proses pembinaan memerlukan empat sumber utama yang terdiri daripada modal, buruh, loji dan bahan. Sumber-sumber ini perlu diuruskan dengan efisyen agar peningkatan kos akibat pembaziran sumber tidak berlaku. Tenaga kerja merupakan sumber yang penting kerana tanpanya pembinaan tidak dapat dilaksanakan (Asiah, 1999). Sumber tenaga kerja ini boleh dikategorikan kepada tiga jenis tenaga kerja iaitu tenaga kerja mahir, tenaga kerja separa mahir dan tenaga kerja tidak mahir. Mengikut Bathurst (1978), tenaga kerja akan mengambil 44% daripada kos pembinaan bangunan sementara 56% lagi diambil oleh bahan binaan yang digunakan.

5.2 Takrif Buruh dan Pembinaan

Takrif buruh mengikut kamus Dewan Edisi Ketiga menyatakan orang yang bekerja untuk mencari makan atau upah atau gaji. Manakala buruh mahir pula ditakrifkan sebagai buruh yang mempunyai kepakaran yang khusus yang diperolehi daripada bidang latihan professional dalam bidang tertentu. Selain itu, buruh separa mahir boleh dimaksudkan sebagai buruh yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu yang diperolehi daripada pengalaman bekerja atau latihan separuh profesional.

Pembinaan pula boleh ditakrifkan sebagai pembinaan baru, pengubahan, pembaikan dan perolehan, pemasangan sebarang jenis jentera atau alat yang sedia ada pada masa pembinaan asas termasuk, serta pemasangan jentera atau alat selepas pembinaan asas tetapi memerlukan binaan bagi memasangnya.

5.3 Perkembangan dan Keperluan Tenaga Kerja Binaan di Malaysia

Kepentingan pembangunan sumber manusia dalam pembangunan negara telah lama diakui. Menurut ahli ekonomi barat, Harbinson dan Myers (1964), menyatakan tentang pentingnya pembangunan sumber manusia untuk mencapai matlamat politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan. Ini dibuktikan dengan beberapa negara mampu mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi melalui pembangunan sumber manusia yang teliti walaupun mempunyai modal fizikal yang kecil. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa buah negara yang kaya dengan modal fizikal, tetapi gagal mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi kerana kelemahan pembangunan sumber manusianya (Hashim Fauzy, 2000).

Antara aset yang paling penting dalam menghasilkan mutu pembinaan yang dihasilkan ialah pekerja atau buruh. Pekerja mesti diurus dan dipimpin dengan baik supaya matlamat organisasi dapat dicapai (Hashim Fauzy, 2000).

Menurut artikel CIDB News (Disember 2000), keperluan tenaga buruh untuk mengisi kekosongan dalam industri pembinaan sukar dicari. Ini memaksa kerajaan meluluskan kemasukan lebih 500,000 orang pekerja asing ke negara ini untuk memenuhi keperluan industri pembinaan. Walaupun pada hakikatnya lebih setengah daripada kira-kira 800,000 gunatenaga kerja asing telah digunakan untuk mengisi keperluan tenaga buruh ini di dalam industri pembinaan yang kebanyakannya burh asing ini tidak berkemahiran. Perkara ini mungkin berlaku akibat salah faham terhadap imej industri pembinaan itu sediri. Ramai yang bertanggapan bahawa kerja dalam industri pembinaan hanya terhad kepada kerja membancuh dan melepa simen, menyorong kereta tolak dan memasng batu-bata di bawah panas terik matahari. Ini dibuktikan dengan ramainya belia tempatan enggan menceburi sektor binaan kerana salah tanggapan mereka dalam industri pembinaan ini. Malah ibu bapa dan masyarakat umumnya sendiri memandang rendah pekerjaan dalam sektor pembinaan kerana pada mereka sektor ini kotor, berbahaya dan sukar. Menyedari hakikat ini, kerajaan melalui salah satu agensi yang terlibat dalam industri pembinaan iaitu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah memperuntukan jutaan ringgit untuk menyediakan kemudahan latihan kemahiran bagi melatih belia-belia lepasan SPM. Langkah tersebut merupakan salah satu langkah bagi mengatasi kekurangan buruh mahir di pasaran dalam industri pembinaan.

5.4 Pembahagian Tenaga Kerja Dalam Industri Pembinaan

Menurut Firuz (1992), pembahagian tenaga kerja dalam industri pembinaan boleh dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu:

i. Pembahagian secara menegak
ii. Pembahagian secara mendatar

a. Pembahagian Tenaga Kerja Secara Menegak

Kumpulan tenaga yang besar perlu dibahagikan ke dalam suatu bentuk sistem hiraki yang dapat membezakan di antara satu sama lain. Cara pembahagian seperti ini mengikut pembahagian buruh yang menggunakan otak (fikiran dan ilmu) dan tangan (tenaga). Oleh itu, kumpulan buruh dibahagikan mengikut organisasi ini yang mana setiap hiraki darjah keperluan adalah berbeza-beza ke atas dua aspek tersebut.

Rajah 4.6 menunjukkan organisasi pentadbiran di tapak bina, di mana tempat yang paling atas diisi oleh pengurus projek. Pengurus projek ini ditempatkan di atas kerana kebanyakan tugas dan peranannya melibatkan soal-soal pentadbiran di tapak bina. Tugas pengurus projek ini lebih menekankan penggunaan kemahiran otak (berfikir dan ilmu). Sementara itu, tenaga kerja binaan pula diletakkan di tempat yang paling bawah di dalam carta organisasi tersebut. Tenaga binaan ini hanya melakukan kerja-kerja yang menggunakan kemahiran 'tangan' (tenaga) di dalam melaksanakan tugasnya.

b. Pembahagian Tenaga Kerja Secara Mendatar

Cara pembahagian tenaga kerja jenis ini menekankan pengkhususan kerja di mana kumpulan tenaga kerja ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang mempunyai kemahiran yang tertentu terhadap satu-satu kerja yang spesifik sahaja. Selalunya pembahagian buruh jenis ini dihubungkaitkan dengan bahan. Contohnya, bata dikaitkan dengan tukang bata, kayu dikaitkan dengan tukang kayu dan sebagainya.

Pembahagian tenaga kerja jenis ini telah mula dipraktikkan pada zaman feudalisma di England lagi. Pada zaman tersebut, tenaga kerja seperti tukang kayu dibezakan dengan petani yang mana tukang kayu berkemahiran di dalam membina rumah, perabut dan sebagainya. Manakala petani pula dikaitkan dengan penyediaan bahan-bahan makanan. Pertukaran keperluan di antara kedua-dua golongan ini pula berlaku di dalam pembahagian keperluan penginapan dan makanan dan ia dikawal oleh tuan tanah.

Cara pembahagian kumpulan tenaga kerja secara mendatar ini ditunjukkan dalam rajah 4.6. Pembahagian tenaga kerja mahir ini dipecahkan kepada beberpa kumpulan tenaga kerja seperti tukang konkrit, tukang bata, tukang kayu, tukang besi dan sebagainya. Setiap kumpulan ini mempunyai kemahiran masing-masing dan tidak berupaya untuk melakukan kerja dari kumpulan lain.


5.5 Kategori Tenaga Kerja
Secara amnya, tenaga di dalam industri binaan boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu tenaga kerja am, tenaga kerja separa mahir dan tenaga kerja mahir.

a. Tenaga Kerja Am

Tenaga kerja am ini tidak mempunyai sebarang kemahiran dan kepakaran di dalam melakukan kerja-kerja binaan (Rojiah, 1995). Selalunya, tenaga kerja diperingkat ini adalah dikalangan mereka yang baru mula bekerja dan ia biasanya menjadi pembantu kepada tenaga kerja mahir dan tenaga kerja separa mahir di dalam melakukan kerja-kerja binaan. Oleh itu, bekalan tenaga kerja untuk tenaga kerja ini lebih mudah diperolehi daripada tenaga kerja mahir dan tenaga kerja separa mahir. Upah yang diterima adalah lebih rendah. Tenaga kerja ini masih mempunyai peluang untuk meningkatkan status mereka dengan memperolehi taraf kemahiran mereka untuk menjadi tenaga kerja separa mahir dan tenaga kerja mahir (Norlinda,1999). Ini diperolehi dengan pengalaman bekerja yang lama.

b. Tenaga Kerja Separa Mahir

Tenaga kerja separa mahir ini lazimnya akan bekerja bersama-sama dengan tenaga kerja mahir di tapak bina. Walaupun begitu tahap kemahiran tenaga kerja ini tidak semahir dan secekap tenaga kerja mahir yang banyak membuat keputusan dalam menentukan cara kerjanya. Kebiasaanya tenaga kerja separa mahir ini adalah terdiri daripada pelatih-pelatih lepasan-lepasan institusi kemahiran seperti IKBN, ABM, IKM dan sebagainya yang baru menamatkan tempoh perintis. Pengalaman bekerja mereka dalam bidang yang mereka ceburi itu kurang daripada 3 tahun.



c. Tenaga Kerja Mahir
Tenaga kerja mahir bolehlah ditakrifkan sebagai seorang pekerja yang telah diiktiraf kebolehan dan kepakaranya serta cekap dalam bidang yang diceburinya serta mempunyai mutu kerja yang berkualiti, (Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan "Tenaga Mahir Membina Negara"). Menurut Fairuz (1992), tenaga kerja mahir ini didifinasikan sebagai seseorang yang mempunyai latarbelakang kemahiran dari institus-institusi kemahiran tertentu dan dibuktikan dengan pensijilan. Selain itu, seseorang yang telah menjadi perintis dalam sesuatu bidang dalam tred kerja yang diceburi dalam bidang pembinaan untuk beberapa tahun dan membuatkannya mahir dalam bidang tersebut sungguh pun tidak menjalani latihan formal.

Tenaga kerja mahir ini biasanya melakukan kerja-kerja seperti tukang bata, tukang pembengkok besi, tukang kayu, jurugegas dan sebagainya. Kepakaran yang dimiliki oleh tenaga kerja mahir ini biasanya diperolehi daripada pengalaman, pengetahuan dan bakat individu tersebut (Shafinaz, 2001). Seseorang buruh itu dianggap sebagai tenaga kerja mahir jika ia mempunyai pengalaman bekerja sekurang-kurangnya 3 tahun dan lebih selepas tempoh perintisnya. Biasanya upah yang diterima ini lebih tinggi daripada tenaga kerja am dan separa mahir. Proses untuk menjadi tenaga kerja mahir memerlukan masa yang lama dan panjang. Ini memberi implikasi terhadap penghasilan tenaga kerja mahir berjalan dengan perlahan dan tidak mampu memenuhi permintaan semasa. Pembayaran perkhidmatan terhadap tenaga kerja mahir ini adalah paling tinggi berbanding dengan kategori tenaga kerja lain mengikut kepakaran mereka.

5.6 Sumber Tenaga Kerja


Pengambilan tenaga kerja di dalam industri pembinaan di Malaysia melibatkan dua sumber utama. Pengambilan tenaga kerja daripada dalam negara dan luar negara.

a. Pengambilan Tenaga Kerja Dalam Negara

Sumber tenaga kerja dalam negara merupakan satu sumber yang terpenting kepada industri pembinaan kerana ia melibatkan pengolahan sumber manusia di Malaysia. Biasanya tenaga kerja tempatan ini datang daripada negeri yang kurang maju (Rojiah, 1995). Dalam tahun 1970an berlaku jumlah penghijrahan yang tinggi di dalam negeri. Pola pergerakan penghijrah-penghijrah (tenaga kerja tempatan) meliputi sebahagian besarnya mereka berhijrah ke negeri-negeri yang maju seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Mereka yang berhijrah ke dua negeri tersebut datang daripada negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang Negeri Sembilan dan Johor. Bagi penghijrah-prnghijrah yang berasal Negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia destinssi mereka adalah tertumpu ke Negeri Pahang. Pengambilan tenaga kerja tempatan terutamanya tenaga kerja mahir dan separa mahir ini diambil daripada institusi-institusi kemahiran awam seperti Institut Kemahiran Mara (IKM), Akademi Binaan Malaysia (ABM), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan sebagainya.

b. Pengambilan Tenaga Kerja Asing

Peningkatan dalam penghijrah untuk mencari pekerjaan yang berlaku semenjak pertengahan tahun 1970 an di Malaysia telah menimbulkan pelbagai isu yang besar. Perkara ini dapat dilihat sebagai satu proses yang membawa faedah ekonomi bersama dan perubahan sosial kepada kedua-dua negara pengirim dan penerima (Rojiah, 1995). Tidak dapat dinafikan pengambilan buruh daripada luar negara telah menyumbang membangunkan industri pembinaan di negara ini. Kekurangan tenaga kerja yang dihadapi oleh pihak kontraktor-kontraktor menyebabkan permintaan terhadap tenaga kerja itu meningkat. Ini menyebabkan kadar upah meningkat secara mendadak. Peningkatan kadar upah ini menggalakkan kemasukan tenaga kerja asing terutamanya dari negara Indonesia, Bangladesh, Thailand dan sebagainya.

5.7 Trend Pekerja Asing Yang datang Ke Malaysia

Menurut Rojiah (1995), salah satu tempat yang menarik untuk mencari peluang pekerjaan di Asia Tenggara adalah Malaysia. Antara destinasi-destinasi utama penghijrahan pekerja asing ini ke Malaysia adalah seperti berikut
i. Pekerja asing dari Negara Filipina ke destinasinya ke Sabah dan Sarawak
ii. Pekerja asing dari Kalimantan, Indonesia ke Negeri Sabah dan Sarawak
iii. Pekerja asing dari Sumatera dan pulau-pulau yang berdekatan ke Semenanjung Malaysia
iv. Pekerja asing dari Thailand destinasinya adalah negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia

5.8 Tenaga Kerja Mengikut Tred

Berikut adalah senarai kategori dan tred kerja-kerja Bangunan yang telah ditetapkan.oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam Construction Industry Skill Standards (1999).




6. DAPATAN KAJIAN

Borang soal selidik diedarkan kepada 10 syarikat kontraktor pembinaan. Keseluruhan tenaga kerja binaan yang diambil sebagai sampel kajian dari 10 syarikat kontraktor binaan ini adalah sebanyak 688 orang. Analisis dibuat berdasarkan kaedah statistik penerangan dan kaedah frekuensi. Dapatan kajian adalah seperti berikut:



Di dapati tenaga kerja am mewakili 41.1% daripada keseluruhan jumlah penggunaan tenaga kerja di tapak bina yang diambil sebagai kajian. Ini diikuti pula 36.7% penggunaan tenaga kerja mahir dan tenaga kerja separa mahir pula adalah sebanyak 22.2%.

Berdasarkan sampel kajian ke atas 10 kontraktor yang diambil, 69.5% tenaga kerja binaan adalah terdiri daripada warga asing yang datang daripada pelbagai negara seperti Indonesia, Bangladesh dan sebagainya. Tenaga kerja binaan yang terdiri daripada warga tempatan hanya meliputi 30.5% daripada keseluruhan tenaga kerja binaan yang bekerja di tapak binaan berdasarkan sampel yang diambil. Pecahan tenaga kerja asing dan tempatan ditunjukan dalam Jadual 6.1.



Dari Jadual 6.1 juga, warga asing yang bekerja sebagai tenaga kerja am telah menguasai jenis pekerjaan ini di mana ia meliputi 90.8% sementara warga tempatan hanyalah 9.2% sahaja daripada jumlah jenis tenaga kerja am. Bilangan warga asing yang ramai diambil bekerja oleh kontraktor sebagai tenaga kerja am ini mungkin disebabkan beberapa faktor. Antaranya upah yang murah serta boleh bekerja lebih masa tanpa runggutan selain tahan bekerja dalam keadaan kerja yang tidak selesa dan berbahaya merupakan faktor yang menarik minat kontraktor untuk mengambil ramai warga asing untuk bekerja sebagai tenaga kerja am.

Selain itu, tenaga kerja am warga asing ini mudah dan senang didapati berbanding dengan tenaga kerja tempatan. Ini menyebabkan kontraktor tidak mempunyai pilihan lain selain mengambil tenaga kerja asing ini sebagai pekerja. Hanya sebilangan kecil warga tempatan yang sanggup menjadi tenaga kerja ditapak bina. Keadaan ini menyebabkan jurang perbezaan jumlah tenaga kerja yang besar di antara tenaga kerja asing dan tempatan. Perkara yang sama juga berlaku pada pekerjaan tenaga kerja separa mahir yang mana ia juga dikuasai oleh tenaga kerja asing asing. Hampir 66.7% tenaga kerja separa mahir ini terdiri daripada warga asing manakala warga tempatan hanya mewakili 33.3% daripada sampel buruh binaan separa mahir yang diambil dalam kajian ini.

Kebiasaannya, tenaga kerja separa mahir ini adalah terdiri daripada bekas tenaga kerja am yang sudah berpengalaman dalam sesuatu tred atau pertukangan yang diceburi dan pelatih-pelatih daripada lepasan-lepasan institusi-institusi latihan kemahiran. Tetapi di dalam kajian ini, kesemua sampel terdiri daripada tenaga kerja separa mahir yang berasal daripada tenaga kerja am yang berpengalaman dalam tred yang diceburi. Mereka ini mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang ditimba secara tidak langsung semasa mereka bekerja sebagai tenaga kerja am.

Dalam kes taburan pekerja mahir, adalah didapati ianya agak seimbang di mana warga tempatan mewakili 52.7% dan warga asing mewakili 47.3% daripada tenaga kerja mahir yang diambil dari sampel untuk dijadikan tujuan kajian. Walaupun jumlah buruh tempatan yang diambil bekerja sebagai buruh mahir ini boleh dikatakan ramai tetapi ia tidak dapat menampung jumlah permintaan terhadap tenaga kerja mahir di tapak bina. Ini menyebabkan kontraktor terpaksa mengambil tenaga kerja asing bagi mengisi kekosongan tersebut.

Dalam kes taburan tenaga kerja tempatan dan asing mengikut tred, sampel telah dipecahkan 8 tred kerja bangunan. Pecahan-pecahan tred ini ditunjukkan seperti Jadual 6.2 dibawah.



Jadual 6.2 di atas menunjukan bahawa tred-tred utama dalam pembinaan bangunan telah dimonopoli oleh tenaga kerja asing. Jumlah tenaga kerja asing yang paling ramai adalah terdiri daripada tred tukang konkrit, tred tukang bata, tred tukang kayu, tred tukang besi dan tred tukang lepa. Ini adalah kerana didapati bahawa kerja-kerja tred tersebut mudah dipelajari dalam masa yang singkat dan tidak memerlukan kemahiran tinggi dengan penggunaan peralatan dan jentera yang moden. Kerja-kerja seperti mengikat bata, konkrit, melepa dan kerja-kerja kayu adalah mudah dan boleh dikendalikan oleh pekerja asing walaupun tidak berapa mahir.
Bagi kerja-kerja memasang jubin, memasang cermin dan mengecat bangunan ianya masih dikuasai oleh tenaga kerja tempatan. Kebanyakan pihak kontraktor memilih tenaga kerja tempatan yang berpengalaman dan berkemahiran tinggi untuk kerja-kerja tersebut.

7. KESIMPULAN AWAL

Kepesatan pembangunan negara menyebabkan industri pembinaan terpaksa bergantung kepada tenaga kerja asing. Kekurangan tenaga kerja tempatan yang begitu ketara menyebabkan kerajaan meluluskan lebih 500,000 orang tenaga kerja asing untuk memenuhi keperluan industri pembinaan negara. Kajian ini telah menunjukkan bahawa tenaga kerja binaan telah dimonopoli oleh tenaga kerja asing. Kebanyakan tred-tred kerja binaan yang dikuasai oleh buruh asing ini adalah terdiri daripada tred tukang konkrit, tukang bata, tukang kayu, tukang besi dan tukang lepa. Kerja-kerja tred seperti mengikat bata, menuang konkrit, membengkok besi dan melepa boleh dilakukan dengan mudah dan boleh dikendalikan oleh buruh warga asing walaupun buruh tersebut tidak beberapa mahir.

Tenaga kerja binaan tempatan pula menguasai tred-tred pertukangan seperti tukang jubin, tukang cat dan tukang cermin. Ini adalah kerana tenaga kerja yang berkemahiran dalam bidang tersebut sahaja boleh melakukan kerja tersebut. Kebanyakan pihak kontraktor memilih pekerja tempatan yang berpengalaman dan berkemahiran tinggi untuk melakukan kerja-kerja tersebut. Terdapat lima jenis tred kerja pertukangan yang mempunyai bilangan pekerja yang paling ramai di tapak bina iaitu tred tukang kayu, tukang bata, tukang lepa, tukang besi dan tukang konkrit. Hasil daripada kajian yang dijalankan didapati tukang kayu mempunyai bilangan pekerja yang ramai iaitu seramai 17% dari keseluruhan jumlah tenaga kerja binaan yang bekerja di tapak bina. Ini diikuti dengan tukang bata 16%, tukang lepa 15%, tukang besi 14 % dan seterusnya ialah 11% yang mewakili tukang konkrit.

Kajian juga mendapati tiada seorang pun tenaga kerja binaan yang ditemui di tapak pembinaan mempunyai sijil kemahiran atau telah menjalani latihan kemahiran dari institusi-inistitusi latihan kemahiran yang banyak terdapat dalam negara. Kebanyakan tenaga kerja ini mempelajari kemahiran melalui pengalaman bekerja selama beberapa tahun di tapak bina sebelum beliau dikatagorikan sebagai tenaga kerja mahir oleh majikan masing-masing.

Persoalan seterusnya ialah, sekiranya benar tiada seorang pun tenaga kerja di tapak bina yang mempunyai sijil kemahiran dari institusi latihan kemahiran, ke mana pula perginya lulusan-lulusan yang telah mendapat pelbagai bentuk kemahiran berkaitan di pelbagai institut latihan kemahiran yang ada. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan negara mengalami kerugian dari segi sumber tenaga kerja tempatan yang sedia ada. Tenaga kerja binaan tempatan akan mengganggur jika kebanyakan kontraktor mengamalkan dasar mengutamakan tenaga kerja asing. Satu kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan bagi memastikan sektor binaan memperolehi faedah yang sewajarnya dari kemahiran yang dimiliki oleh para lulusan ini.

8. RUJUKAN


Abd. Ghani Khalid (1997). Kajian Permintaan Dan Penawaran Bahan Binaan Utama dan Gunatenaga Industri Binaan Sehingga Tahun 2020. Laporan Penyelidikan: Pusat Sumber Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia.
Amizan Abdullah (2000). Produktiviti Buruh Di Tapak Bina. Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Muda
Asiah Juli (1999). Mengenalpasti Sistem Perolehan Sumber Modal Bagi Projek Pembinaan: Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Muda.
Bellante, Don (1989). Ekonomi Buruh: Pilihan Dalam Pasaran Buruh. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka. m.s. 20-56.
Bernard T.H Wang (1998). Construction & Development (with reference to Malaysia). Kuala Lumpur : Pelanduk Publication. m.s. 100-113.
Berita Harian (1992). Sektor Pembinaan Dan Pembuatan Penting. dlm. Berita Harian, 13 Ogos 1992. Kuala Lumpur : Berita Harian.
CIDB Malaysia (2000). Latihan Kemahiran Belia Membuka Peluang Golongan Belia Menyertai Sektor Binaan. dlm. CIDB News, Issue 2 Jun 2000. Kuala Lumpur : Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). m.s. 18-19.
CIDB Malaysia (2001). Mengakreditasi Tenaga Kerja Indsutri Pembinaan Malaysia Bagi Menjana Tenaga Kerja Berprestasi Tinggi. dlm. CIDB News, Issue 2 Jun 2001. Kuala Lumpur : Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). m.s. 14-15.
CIDB Malaysia (2001). Kemahiran Dalam Indsutri Pembinaan Menjanjikan Pendapatan Lumayan. dlm. CIDB News, Issue 4 Disember 2001. Kuala Lumpur : Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). m.s. 4-5.
Hisham Fauzy.(Eds.) (2000). Pembangunan Sumber Manusia. Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia. m.s. 27-41.
Intan Shafinaz Abd. Rahman (2000). Pendekatan Latihan Untuk Pekerja Pembinaan. Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Muda.
Jabatan Perangkaan Malaysia (1999). Penyiasatan Industri Pembinaan Tahunan.Untuk Tahun 1998. Kuala Lumpur : Jabatan Perangkaan Malaysia.
Mohd Fairus (1992). Kajian Ke Atas Pasaran Buruh Mahir Dalam Industri Binaan Di Malaysia. Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Muda.
Mohd Hanif Kamsani (2003) Taburan Buruh Mengikut Tred Dalam Industri Binaan. Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Muda.
Nor Aniza Naimudin (1998). Kajian Ke Atas Penawaran Buruh Mahir Dalam Industri Binaan. Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Muda.
Norlinda Abu Bakar (2001). Kajian Ke Atas Penglibatan Pekerja Binaan Tempatan Dalam Industri Binaan Di Johor Bahru. Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Muda.
Utusan Malaysia (2000). Suntikan Kerajaan Rangsang Sektor Pembinaan. dlm. Utusan Malaysia, 20 Disember 2000. Kuala Lumpur : Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia (2001). Buruh Asing Diambil Pastikan Perniagaan Tidak Terjejas. dlm. Utusan Malaysia, 19 Oktober 2001. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia.
Wan Rojiah Wan Mahmud (1995). Kajian Ke Atas Pengambilan Buruh Asing Dalam Industri Binaan Di Malaysia. Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Muda.
Zulkifly Osman (1989). Ekonomi Buruh: Teori Permintaan Dan Penawaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka. m.s. 90-130.

No comments: