Tuesday, August 28, 2007

PELAN DAN LUKISAN UNTUK PROJEK PEMBINAAN DARIPADA KACAMATA UNDANG-UNDANG

PROF. MADYA ABDUL AZIZ HUSSIN AMN
DPA; LL.B(Hons); Dip.M.Mgmt; MSc.(Prjt.Mgmt.); LL.M
MMIM; Peguambela & Peguamcara; MMAP; MTEAM
Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan & Perancangan
Universiti Sains Malaysia
abdaziz@usm.my

Abstracts

Plans and drawings must exist before the output of the construction project exist. Their existence in the construction processes is a must, but the designers who produce plans and drawings must follow some basic legal principles relating to plan and drawings, and the constructors too. This article discusses the need of the plans and drawings in contruction contracts and certain legal requirements that the designers and the constructors should observe, especially in order to avoid legal dispute (or claim) involving relevant parties in the said contruction project (including themselves).

Abstrak

Pelan dan lukisan mesti wujud sebelum wujudnya output projek pembinaan. Kewujudannya didalam proses pembinaan adalah suatu kemestian, namun para perekabentuk yang membuat pelan dan lukisan perlulah mematuhi beberapa prinsip undang-undang yang asas berkaitan pelan dan lukisan, begitu juga jurubinanya. Artikel ini membincangkan keperluan pelan dan lukisan dalam kontrak pembinaan dan keperluan undang-undang tertentu yang perekabentuk dan jurubina perlu ikuti, terutamanya bagi mengelak pertikaian undang-undang (atau tuntutan) melibatkan pihak-pihak berkaitan didalam projek pembinaan (tersebut termasuk mereka sendiri).

Kata kunci
: Pelan dan lukisan – tujuan – peruntukan dalam perjanjian – keperluan undang-undang – isu-isu.

PENDAHULUAN

Sekali fikir, penulis merasa ajaib juga melihat bangunan tersergam indah tinggi melangit mencecah awan, berdiri di suatu tapak. Aneh juga bila memikirkan bagaimana kehendak klien (tuanpunya projek) menrealisasikannya, hasil gabungan imiginasinya dan kehendaknya telah kemudiannya dikongsi bersama ahli-ahli profesional projek (arkitek, jurutera, juruukur bahan dan lain-lain) dan jurubina (kontraktor dan subkontrak kerja yang mengembeling tenaga bersama pasukan pekerja-pekerjanya). Bagaimanakah kombinasi kemahiran dan kepakaran mereka ini semua digabungkan bagi menghasilkan output sedemikian yang menakjubkan? Maha Suci Tuhan yang memberi ilmu dan usaha sedemikian kepada hambaNya.

Setelah dikaji dengan teliti, penulis dapati salah satu cara utama merealisasikan pembinaan sedemikian ialah dengan menterjemahkan kehendak klien (atau disebut ringkasan klien), yang sekali gus dapat pula dirujuk oleh pihak pembina (yakni kontraktor dan pasukannya), ialah dengan cara memberi gambaran mengenai output yang akan dihasilkan kelak dalam bentuk pelan dan lukisan.

Dengan adanya pelan dan lukisan (yang telah diterjemah oleh ahli-ahli pasukan profesional projek hasil daripada ringkasan klien, dan telah pun dipersetujui klien) maka pasukan pembina (termasuk juga hali-ahli profesional itu sendiri) akan menggunakannya (merujuk kepadanya) dalam peringkat-peringkat berikut:

Pertama, dalam membuat tender (walau apa jenis tender itu tidaklah menjadi persoalan di sini);

Kedua, semasa membinanya; dan

Ketiga setelah siap, akan digunakan pula untuk mengesahkan bahawa ianya telah dibina seluruhnya mengikut pelan dan lukisan (serta spesifikasi) yang dinyatakan.

Pada peringkat-peringkat di atas, salah satu perspektif yang perlu dilihat ialah daripada segi undang-undang. Beberapa perkara melibatkan undang-undang perlulah dilihat dan dipatuhi bagi tujuan mencapai tujuan pelan dan lukisan itu diwujudkan dan juga bagi mematuhi undang-undang yang berkaitan. Artikel ini membincangkan mengenai pelan dan lukisan untuk projek pembinaan daripada kacamata undang-undang termasuklah bantuan undang-undang agar hasrat sejati pihak-pihak dapat dilalui dan dilaksanakan dengan jayanya.

TUJUAN PELAN DAN LUKISAN


Pada mukaddimah perbincangan penulis sebelum ini, secara tidak langsung penulis telah membincangkan mengenai tujuan pelandan lukisan itu disediakan.

Jika kita cerakinkan perkara di atas daripada perspektif klien, tujuan lain yang tidak kurang besarnya adalah agar bangunan atau jalan, dan lain-lain output projek berkenaan dapat dibina dan diluluskan oleh pihakberkuasa-pihakberkuasa berkaitan di mana pada akhirnya bangunan (atau lain-lain) itu boleh dimanfaatkan mengikut tujuan asal ia dibina – misalnya mendudukinya sendiri, dijual, disewa dan lain-lain di mana akhirnya klien mendapat untung daripada projeknya itu.

Daripada perspektif pembina (kontraktor dan subkontraktor-subkontraktornya), pelan dan lukisan diperlukan bagi membolehkan dia membina bangunan atau lain-lain (output projek) dengan jayanya seperti yang klien ingini, di mana akhirnya dia akan mendapat bayaran atau kerja-kerjanya itu, dan juga termasuklah keuntungan kewangan.

Tujuan pelan dan lukisan disediakan juga ada kaitannya dengan bidang tugas pengambilan ahli-ahli profesional projek itu sendiri. Perkara ini boleh dijelaskan jika kita merujuk kontrak pengambilan tugas mereka. Contohnya bagi Arkitek, di bawah Kaedah-Kaedah Arkitek (Skel Fee Minimum) 1986, ada dinyatakan bahawa antara lukisan-lukisan yang arkitek perlu sediakan ialah lakaran-lakaran permulaan sehingga lakaran rekabentuk “bagi mendapatkan kelulusan perancangan atau kelulusan pada dasar supaya mematuhi undang-undang kecil yang berkenaan”. Lukisan-lukisan kerja pula disediakan bagi membolehkan perunding-perunding lain memulakan rekabentuk mereka yang terperinci (detail) dan juga bagi tujuan “mendapat kelulusan berkanun pembinaan”.

Bagi jurutera pula, menurut Warta Pemberitahu bertarikh 2 Oktober 1986, rekabentuk-rekabentuk dan lukisan-lukisan yang jurutera sediakan adalah untuk tujuan tender berhubung dengan kerja-kerja berkenaan.

Tujuan disediakan pelan dan lukisan juga dapat dilihat daripada fungsi pelan dan lukisan itu sendiri. Menurut Murdoch, J. dan Hughes, W (1992), di antara fungsi pelan dan lukisan adalah:

Pertama, menjadi model bagi ide-ide pereka dan membantu menrasionalkan dan menyelesai masalah dan konflik yang dijangka antara fabrikasi dan penampakan (misalnya lukisan isometrik dan pandangan pelukis);

Kedua, ia menjadi alat menyampaikan hasrat pereka kepada kontraktor (lukisan rekabentuk terperinci); dan

Ketiga, ia mereka apa kerja pembinaan yang telah di laksanakan (lukisan seperti – bina) bagi tujuan penyenggaraan fasiliti.

KEWUJUDAN PELAN DAN LUKISAN DALAM DOKUMEN PERJANJIAN


Bagi borang seragam JKR 203, menurut Perkara 2, Perkara-perkara Perjanjian dan fasal 1(a)(i) Syarat-syarat Kontrak, ada dinyatakan bahawa pelan-pelan adalah sebahagian daripada dokumen kontrak dan bersama-sama dengan lain-lain dokumen ia dikita melengkapi antara satu sama lain.

Bagi borang seragam PAM 1998, Mukaddimah terakhir Artikel-artikel Perjanjian menyatakan secara tersirat bahawa lukisan (yang perlu ditandatangani oleh kedua-dua pihak, iaitu klien dan kontraktor) menjadi sebahagian daripada dokumen perjanjian. Malah Artikel 7(i), Artikel-artikel Perjanjian dengan jelas menyatakan lukisan-lukisan kontrak (yang disenaraikan dalam Mukaddimah dan dinyatakan dalam Lampiran kepada Bil Kontrak) adalah sebahagian daripada Dokumen-dokumen Kontrak.

Bagi borang seragam CIDB 2000, Artikel 3, Artikel-artikel Perjanjian menyatakan Lukisan adalah merupakan keutamaan kelima daripada senarai keutamaan dan menjadi sebahagian (dan dibaca serta perlu diertikan sebagai sebahagian) dari pelan Kontrak. Jika menurut fasal 1.1 Syarat-syarat Kontraknya pula, lukisan yang dirujuk di dalam kontrak termasuklah lukisan-lukisan yang kontraktor sediakan dan diterima oleh Pegawai Penguasa menurut Fasal 4.4 Syarat-syarat Kontrak. Ini termasuklah juga lukisan-lukisan lain yang dikeluarkan atau diterima secara bertulis oleh Pegawai Penguasa dari semasa ke semasa.

Daripada ketiga-tiga borang seragam di atas, adalah jelas bahawa pelan dan lukisan sebenarnya menjadi sebahagian dan seisi dengan dokumen-dokumen kontrak yang lain untuk menjadi Ikatan Perjanjian Kontrak berkenaan. Dengan itu kewujudan pelan dan lukisan adalah amat penting bagi tujuan pendokumentasian perjanjian.

KEPERLUAN-KEPERLUAN MINIMA UNDANG-UNDANG BERKAITAN PELAN DAN LUKISAN

Bagi tujuan membina bangunan dan lain-lain struktur, serta kerja-kerja sivil yang lain, beberapa undang-undang bertulis telah menetapkan keperluan-keperluan yang perlu dipatuhi semasa menyediakan pelan dan lukisan (dan termasuk mematuhi pelan dan lukisan tersebut semasa pembinaan).

Di antara undang-undang berkaitan ialah:

i. Pelan bangunan yang mematuhi, antara lain, Bahagian V Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta perinciannya di bawah Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 dan Undang-undang Kecil Kerja Tanah 1985 (bagi bangunan-bangunan di dalam kawasan bidangkuasa pihakberkuasa tempatan);

ii. Akta Kerja-kerja Saliran 1954, untuk pelan dan lukisan yang perlu dipatuhi bagi kerja-kerja berkaitan saliran;

iii. Akta Pengairan 1953, untuk pelan dan lukisan yang perlu dipatuhi bagi kerja-kerja pengairan;

iv. Akta Pemuliharaan Tanah 1960, untuk pelan dan lukisan yamg perlu dipatuhi yang menjejaskan pemuliharaan tanah;

v. Akta Kilang dan Jentera 1965, untuk pelan dan lukisan yang perlu dipatuhi berkaitan pemasangan dan penyenggaraan kilang dan jentera;

vi. Kanun Tanah Negara 1965, untuk pelan dan lukisan yang perlu perlu dipatuhi berhubung dengan persempadanan, kategori penggunaan, akses dan seumpamanya;

vii. Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, untuk pelan dan lukisan berkaitan, atau menjejaskan, penjagaan alam sekitar;

viii. Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, untuk pelan dan lukisan bagi maksud pelan pembangunan dan seumpamanya;

ix. Akta Hakmilik Strata, 1985, untuk pelan dan lukisan berkaitan hakmilik strata;

x. Akta Perkhidmatan Pembetungan, 1993, untuk pelan dan lukisan berkaitan kerja dan penyelenggaraan pembentungan;

xi. Akta Bekalan Gas, 1993, untuk pelan dan lukisan berkenaaan kerja-kerja berkaitan pembekalan gas;

xii. Akta Perkhidmatan Bomba, 1988, untuk pelan dan lukisan bangunan dan kemudahan serta kerja-kerja sivil berkaitan mencegah dan menentang kebakaran;

xiii. Akta Penerbangan Awam, 1969, untuk pelan dan lukisan bangunan dan kerja-kerja sivil yang memberi kesan kepada laluan penerbangan;

xiv. Akta Pengangkutan Jalan, 1987, untuk pelan dan lukisan bangunan, kerja-kerja sivil dan lain-lain yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalanraya;

xv. Akta Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan), 1984, untuk pelan dan lukisan bagi kerja-kerja berkaitan bekalan petroleum yang boleh menjejaskan keselamatan awam;

dan lain-lain lagi statut yang relevan dan berkuatkuasa dari semasa ke semasa. Walau apapun statutnya, yang penting ialah pembuat pelan dan lukisan itu mesti mematuhi keperluan yang statut berkenaan kenakan semasa menyediakan, mengguna dan yang pentingnya, semasa mendapatkan kelulusan pihakberkuasa-pihakberkuasa berkenaan.

ISU-ISU BERKAITAN PELAN DAN LUKISAN

Dalam mewujud dan menggunakan pelan dan lukisan, tanpa mengira sama ada ianya di peringkat awalan, peringkat pendrafan, pembinaan, kelulusan siap dan penyenggaraan, kadangkala wujud pertelingkahan atau isu-isu yang perlu diselesaikan oleh pihak-pihak berbangkit. Dalam menyelesaikan isu-isu dan pertelingkahan-pertelingkahan tersebut, beberapa keputusan mahkamah dan peruntukan-peruntukan undang-undang bertulis yang akan dibincangkan selepas ini diharap dapat membantu.

(a) Tugas Berhati-Hati Di Pihak Klien

Sebagai tuanpunya projek, output projek kelak biasanya akan dimanfaatkan oleh klien. Output yang dihasilkan tentunya, sebahagian besarnya adalah hasil daripada penterjemahan pelan dan lukisan. Dengan itu, secara ringkasnya, pelan dan lukisan adalah penentu output projek – walaupun ia cacat yang berpunca daripada pelan dan lukisan yang cacat atau tidak lengkap. Prinsip amnya ialah jika klien telah pun menyetujui sesuatu pelan atau lukisan yang disediakan, walaupun ianya cacat atau tidak lengkap maka klien perlu menanggung sendiri akibatnya (dan hanya dapat menyesali diri sendiri). Dalam kes Worboys lwn. Acme Investments (1969), satu pemaju hartanah yang berpengalaman telah bersetuju dengan suatu pelan yang disediakan oleh sepasukan konsultan. Pelan itu sebenarnya tidak lengkap kerana tiada pelan tandas di tingkat bawah bangunan berkenaan. Namun begitu Mahkamah Rayuan memutuskan pemaju itu tidak lagi boleh merungut kemudiannya mengenai hal itu setelah bangunan dibina berdasarkan pelan dan lukisan tersebut, dan rungutannya tidak akan dilayan.
(b) Tanggungjawab Pereka Bagi Pelan Dan Lukisan Yang Cacat

Selain daripada pelan dan lukisan cacat yang kemudiannya dipersetujui klien seperti dibincangkan di atas, pada prinsipnya konsultan yang menyedia pelan dan lukisan akan dipertanggungjawabkan atas apa-apa kecacatannya. Contohnya dalam kes Morest Cleaners lwn. Hicks (1966) seorang arkitek yang telah menurunkan tugas merekabentuk konkrit diperteguh kepada kontraktor (dan kemudiannya didapati rekabentuk itu ada kecacatannya) telah diputuskan oleh mahkamah bertanggungjawab atas rekabentuk tersebut.

Dalam kes Greaves (Contractors) Ltd. Lwn. Baynham Maikle (1975), seorang jurutera telah diminta oleh klien merekabentuk struktur bangunan yang diketahui akan tertakluk kepada muatan bergegar. Namun jurutera itu telah merekabentuk lantai yang gagal menahan gegaran (dan struktur bangunan itu telah retak). Mahkamah memutuskan bahawa jurutera itu telah pecah syarat terma-terma tersirat berkaitan tujuan bangunan itu dibina, dan dengan itu jurutera itu bertanggungjawab atas kegagalan merekabentuk.

Seterusnya, seperti yang telah diputuskan dalam kes Smith lwn Burton (1866), adalah menjadi tanggungjawab pihak yang menilai pelan atau lukisan (misalnya juruukur bahan) untuk memaklumkan klien (tuanpunya projek) jika dia tahu bahawa pelan atau lukisan itu cacat.

Pereka pelan atau lukisan (misalnya arkitek atau jurutera) perlulah bertanggungjawab bagi pelan dan lukisannya, malah dia perlu menyediakannya (atau disediakan oleh kakitangan bawahannya di bawah pengawasannya). Dia tidak boleh sama sekali menandatangani pelan atau lukisan yang tidak disediakannya, dan jika dia melakukannya (menandatanganinya) maka dia dikira melakukan suatu perbuatan buruk (hina). Dalam kes Lim Ko dan seroang lagi lwn. Lembaga Arkitek (1965), seorang arkitek telah menandatangani pelan yang tidak disediakan olehnya. Mahkamah memutuskan bahawa perbuatan itu melanggar Kaedah 48, Kaedah-kaedah Arkitek 1955 (kini diganti dengan fasal 1(7) Bahagian IV Kaedah-kaedah Arkitek 1996). Ketika memutuskan sedemikian, Ketua Hakim Pike menyebut,

“Adalah jelas bahawa seseorang Arkitek yang menandatangani pelan-pelan yang dia tidak pun sediakan atau penyediaan yang dia tidak selia (awasi) adalah merupakan suatu perbuatan yang semberono (gopoh) dan suatu yang boleh mendatangkan kesan yang serius dan berbahaya kepada nyawa dan keselamatan orang awam, dan pada pendpat saya…. Perbuatan ini adalah perbuatan yang amat buruk dalam sesuatu bidang profesional”.

Fasal 1(7) Bahagian IV, Kaedah-kaedah Arkitek 1996 memperuntukkan seperti berikut:
“Seseorang Arkitek tidak boleh memperakukan, menandatangani atau menurunkan tandatangan kepada lukisan, pelan atau spesifikasi yang bukan disediakan olehnya atau oleh kakitangan di bawah pengawasannya untuk tujuan mendapatkan kelulusan daripada mana-mana pihakberkuasa berkanun”.

(c) Tanggungjawab Pereka Bagi Pelan Yang Menceroboh

Ada juga terdapat pelan atau lukisan yang disediakan di mana apabila bangunan dibina berdasarkan pelan atau lukisan itu, bangunan berkenaan telah memasuki (menceroboh) tanah bersebelahan. Dalam hal sedemikian menurut keputusan kes Monks lwn. Dillon (1882), pereka bagi pelan atau lukisan berkenaan (misalnya Arkitek) secara peribadi juga dikira telah menyebabkan kejadian pencerobohan (dan dengan itu tertakluk kepada tuntutan-tuntutan sivil termasuk gantirugi).

(d) Tanggungjawab Atas Kecuaian Mengira Bil Kuantiti

Mengikut keputusan kes-kes M’Connell lwn. Kilgen (1987) dan Lansdowae lwn. Somerwille (1862), dikatakan bahawa pengiraan bil kuantiti biasanya akan dilakukan oleh Juruukur Bahan klien, tetapi jika Arkitek sendiri yang melakukan kerja-kerja itu atau dia mengupah Juruukur Bahan lain untuk melakukannya bagi pihaknya, maka jika berlaku kecuaian semasa mengira bil kuantiti, maka Arkitek itu akan di pertanggungjawabkan atas kecuaian berkenaan.

(e) Takat Hak Klien Menggunakan Pelan Atau Lukisan

Seperti diputuskan oleh Mahkamah dalam kes Blair lwn. Osborne & Tomkins (1971) [yang dirujuk di dalam kes T.R.Hamzah & Yeang Sdn. Bhd. lwn. Lazar Sdn. Bhd. (1985)] bahawa adalah menjadi suatu lesen (kebenaran) tersirat bahawa Arkitek (atau Jurutera) akan membenarkan pelannya diguna untuk semua tujuan yang berkaitan dengan pembinaan bangunan berkaitan sebagai balasan (habuan) kepada fee yang dibayar (yakni yang dibayar oleh klien kepada Arkitek itu). Namun, seperti yang dikatakan oleh hakim Lord Denning, M.R., dalam kes berkenaan,

“….Arkitek lain yang menyambung kerja-kerja daripada pelan berkenaan tidak boleh meletakkan namanya atas pelan tersebut”.

Seterusnya, seperti dinyatakan oleh Males, A.R (dalam Speight, A & Stone, G. 1990), apabila ahli-ahli profesional (misalnya Arkitek atau Jurutera) mati atau menjadi takupaya secara kekal, maka biasanya klien berhak untuk menggunakan lukisan-lukisan dan lain-lain dokumen untuk menyiapkan kerja (dengan syarat ada peruntukkan sedemikian di dalam perjanjian).

Arkitek atau Jurutera itu pula berhak menyimpan dokumen-dokumen pelan atau lukisan atas dasar dia ada lien (hak untuk menahansimpan) pelan atau lukisan itu, sehinggalah klien membayar fee bagi kerja-kerja menyedia pelan atau lukisan itu (Flint, A, dlm. Speight, A. & Stone, G. 1990).

Mengenai hak ke atas hakcipta pelan dan lukisan itu, eloklah diperturunkan di bawah ini apa yang dinyatakan di dalam fasal-fasal 19 dan 20, Syarat-syarat Pertugasan Untuk Arkitek (yakni Bahagian Satu bagi Jadual Ketiga, Kaedah-kaedah Arkitek 1996):

19. Menurut seksyen 14 Akta Hakcipta 1987, hakcipta dalam semua dokumen dan lukisan yang disediakan oleh Arkitek, dan termasuk apa-apa kerja yang dilaksanakan berdasarkan kegunaan dokumen dan luksian tersebut hendaklah tetap menjadi milik Arkitek, melainkan jika dipindahkan kepada pelanggan mengikut syarat-syarat dan pertimbangan tertentu sebagaimana yang dipersetujui di antara Arkitek dengan pelanggan.

20. Jika Arkitek telah memberi perkhidmatan sehingga dan termasuk Fasa Dokumentasi Kontrak dan telah menerima fee yang sepatutnya dibayar kepadanya, pelanggan hendaklah berhak untukmengulangi kegunaan rekabentuk tersebut dengan melaksanakan projek itu dengan syarat ianya adalah di atas tapak yang rekabentuk itu telah disediakan pada asalnya. Hak untuk menggunakan rekabentuk asal itu hendaklah juga dikenakan kepada kerja penyenggaraan, pembaikan, pembaharuan, pengembalian kepada kedudukan asal ataupun membuat ubahsuaian kepada kerja itu.

Oleh kerana peruntukan fasal-fasal 19 dan 20 adalah jelas dan mudah difahami, maka penulis tidak bercadang menghuraikannya lagi di sini. Namun, seperti dinyatakan oleh Flint, A. (1990), pemunyaan hakcipta lukisan perlulah dibezakan dengan pemunyaan kertas-kertas di mana lukisan itu dibuat. Di sisi undang-undang, apabila klien telah membayar fee Arkitek (atau Jurutera, mengikut yang berkenaan) klien berhak kepada milikan fizikal semua kertas-kertas di mana lukisan itu dibuat yang disediakan atas perbelanjaannya. Walau bagaimanapun (pada amnya) hakcipta lukisan masih dengan Arkitek atau Jurutera (kecuali dinyatakan sebaliknya – lihat contohnya fasal-fasal 19 dan 20 Syarat-syarat Petugasan Untuk Arkitek di atas). Menurut Flint, A. (1990) seterusnya, jika hakcipta itu diserah kepada klien, maka dia (Arkitek atau Jurutera) masih boleh mengeluar kembali lukisan sedemikian untuk kerja-kerja berikutnya sebagai sebahagian daripada lukisannya yang asal dengan syarat dia tidak mengulang atau menjiplak lukisan asal bulat-bulat.

(f) Hak Terhadap Pelan Dan Lukisan Dalam Kontrak Putar-Kunci (Turnkey)

Dalam kes High Mark (M) Sdn. Bhd. lwn. Pacto Malaysia Sdn. Bhd. (1987), sebuah firma konsultna diambil kerja oleh kontraktor dalam suatu kontrak putar-kunci. Kerja-kerja rekabentuk (membuat lukisan dan lain-lain) dilakukan oleh konsultan tersebut untuk kontraktor dan feenya telah dibayar. Isu berbangkit mengenai siapakah yang berhak terhadap pelan dan lukisan tersebut – iaitu sama ada kontraktor, klien, atau konsultan? Mahkamah memutuskan bahawa semua lukisan dan rekabentuk yang disediakan oleh konsultan adalah menjadi harta kepunyaan kontraktor.

(g) Hak Kontraktor Untuk Dibekalkan Pelan Dan Lukisan

Uff, J. (1985) menyatakan bahawa jika tiada terma-terma nyata (dalam Syarat-Syarat Kontrak), maka kontraktor berhak untuk memperoleh lukisan yang dibekal pada masa yang munasabah.
(h) Kerahsiaan Pelan Dan Lukisan

Pelan dan lukisan yang disediakan biasanya khusus untuk kegunaan sesuatu projek sahaja, dan tidak boleh digunakan untuk maksud-maksud lain. Pelan dan lukisan biasanya dianggap dokumen rahsia kepunyaan klien. Contohnya, menurut fasal 7 (g) borang JKR 203, tiada satu pun dokumen (termasuklah pelan dan lukisan) boleh digunakan oleh kontraktor bagi apa-apa maksud lain selain daripada bagi maksud kontrak kerja berkenaan sahaja.

Begitu juga di bawah fasal 3.9 borang PAM 1998, dinyatakan tiada satu pun dokumen kontrak (termasuklah pelan dan lukisan) boleh digunakan oleh kontraktor kecuali bagi maksud kontrak kerja itu sahaja, dan majikan, arkitek, jurutera, juruukur bahan tidak boleh mendedahkan atau menggunakan jadual kadar (bagi lukisan itu) kecuali untuk kontrak itu sahaja.

Bagi yang menggunakan borang seragam CIDB 2000, menurut fasal 4.9 (a), kontraktor dikehendaki merahsiakan setiap dokumen kontrak (termasuklah pelan dan lukisan) dan hanya menggunakannya untuk kerja-kerja kontrak itu sahaja. Dinyatakan seterusnya bahawa kontraktor dilarang mendedahkan apa-apa maklumat, lukisan atau gambar-gambar kerja (kecuali jika diarahkan di bawah undang-undang).

Ini menunjukkan pelan dan lukisan adalah dokumen rahsia sesuatu projek dan perlu dilindungi, terutamanya oleh kontraktor.

PENUTUP

Daripada perbincangan di atas, adalah jelas bahawa pelan dan lukisan amat penting bagi projek pembinaan. Dengan mudah, jika tiada pelan dan lukisan maka tiadalah projek (output).

Namun pelan dan lukisan yang dihasilkan perlulah mematuhi kehendak-kehendak undang-undang dari segi penyediaannya, perlindungan hakcipta, hak-hak dan tanggungjawab pihak-pihak berkaitan pelan dan lukisan, dan sebagainya.

Dengan kata lain pelan dan lukisan juga perlulah diuruskan dengan wajar dan mematuhi kehendak-kehendak undang-undang serta mencapai tujuan pelan dan lukisan itu disediakan (diwujudkan).

RUJUKAN

Borang Seragam CIDB 2000
Borang Seragam JKR 203
Borang Seragam PAM 1998
Flint, A., “Copyright” dlm. Speight, A & Stone, G. 1990. Architect’s Legal Handbook – The Law for Architects. Edisi Kelima. Cambridge: Butterworths- Architecture.
Kaedah-kaedah Arkitek 1996
Kaedah-kaedah Arkitek (Skel Fee Minimum) 1986
Males, A.R. “Architect’s Appointment and Collateral Warranties” dlm. Speight, A. & Stone G. 1990. Architect’s Legal Handbook – The Law for Architects. Edisi Kelima. Cambridge: Butterworths-Architecture.
Murdoch, J. & Hughes, W. 1992. Construction Contracts -- Law and Management. London: E & FN Spon.
Warta Pemberitahu bertarikh 2 Oktober 1986 (bagi Jurutera)
Uff, J. 1985. Construction Law. London: Sweet & Maxwell Ltd.

Sumber
 http://www.hbp.usm.my/aziz/PELAN%20&%20LUKISAN.htm

No comments: