Monday, July 30, 2007

PENGGUNAAN INSURANS ISLAM OLEH KONTRAKTOR DALAM PROJEK PEMBINAAN - PELUANG PEMASARAN

Suhaila bte Sulaiman, Mohd Hanizun Hanafi, Norizan Mansor,
Wan Yusoff Wan Mahmood, Dr Razali Adul Hamid
Jabatan Ukur Bahan
Universtiti Teknologi Malaysia, Skudai

Abstrak

Kertas kerja ini berdasarkan dua kajian yang telah dijalankan yang bertujuan melihat sejauhmana penggunaan insurans Islam oleh kontraktor pembinaan yang telah lama diperkenalkan dan diamalkan di Malaysia. Kelebihan sistem ini dari segi konsep berbanding system insuran konvensional sediada di Malaysia dibincangkan terlebih dahulu. Cadangan telah diberikan bagaimana untuk meningkatkan penggunaan system ini dalam industri pembinaan.

Kata kunci : Takaful, insurans, pemasaran.

1.0 Pengenalan

Kerugian yang mungkin dialami oleh sesebuah kontraktor sewaktu melaksanakan sesuatu projek pembinaan dapat dikurangkan dengan mengambil polisi insurans. Sistem insurans Islam yang menyediakan perlindungan-perlindungan insurans secara yang diizinkan oleh perundangan Islam, diwujudkan di Malaysia ekoran minat umat Islam untuk mengamalkan ajaran dan peraturan Islam sepenuhnya dalam kehidupan mereka selepas melihat dan merasai sendiri kelemahan sistem insurans konvensional sediada, bermula dengan penubuhan Syarikat Takaful Malaysia Sdn Bhd pada tahun 1984 diikuti dengan penubuhan syarikat insurans Islam kedua iaitu Syarikat MNI Takaful Sdn Bhd pada 1993. Bank Rakyat sedang dalam proses memohon lesen untuk mengendalikan syarikat insurans Islam ketiga diMalaysia (Utusan Malaysia, 16 Oktober 2001). Insurans Islam lebih dikenali sebagai Takaful.

2.0 Objektif Kajian

Untuk mengenalpasti tahap penggunaan insurans Islam yang diperkenalkan dan diamalkan di Malaysia, oleh kontraktor pembinaan. Kajian tertumpu kepada kontraktor kerja kejuruteraan awam dan bangunan di Negeri Johor yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dalam kelas seperti berikut:

a) Kontraktor dalam sebarang kelas
b) Kontraktor Kelas ‘F’ sahaja

3.0 Kajian Literatur

Didalam kerja pembinaan, kebiasaannya risiko dan kecederaan yang mungkin berlaku merupakan perkara yang berulang seperti kematian, kecederaan dan kerosakan kepada kerja yang dilaksanakan serta kerosakan kepada harta benda orang awam. Akibat daripada kekerapan berlakunya risiko ditapak bina menyebabkan kontraktor perlu mengambil perlindungan insurans untuk melindungi dirinya daripada menanggung sendiri kerugian yang besar (Laporan Ketua Pengarah Insurans, 1997). Segala bentuk risiko tersebut akan ditanggung oleh pihak kontraktor sehingga meliputi tempoh liabiliti kecacatan (Hickson, 1987). Sekiranya projek tersebut tidak dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan, tambahan tempoh keatas tempoh perlindungan insurans juga perlulah dilakukan.

Bagi mengurangkan penanggungan risiko pihak kontraktor, pihak klien mensyaratkan supaya perlindungan insurans hendaklah diperolehi sebelum kerja dilaksanakan ditapak bina. Jenis-jenis insuran yang biasanya diperlukan oleh pihak kontraktor dalam melaksanakan kerja kontraknya ialah Insurans Pampasan Pekerja, Insurans Liabiliti Awam, dan Insurans Semua Risiko Kontraktor yang meliputi Insurans Kerja serta Insurans Liabiliti Awam.

Syarat yang menghendaki kontraktor menyediakan perlindungan insurans terdapat dalam Borang Kontrak Setara JKR 203 dan 203A (semakan 10/83) yang digunakan untuk kontrak kerajaan iaitu dalam Klausa 33 untuk Insurans Liabiliti Awam, Klausa 34 untuk Insurans Pampasan Pekerja dan dan Klausa 36 untuk Insurans Kerja. Borang Kontrak Setara PAM yang digunakan untuk projek swasta di Malaysia pula meletakkan keperluan insurans dalam Klausa 19(1)(a) untuk Insurans Pampasan Pekerja, Klausa 19(b) untuk Liabiliti Awam dan Klausa 20 untuk Insurans Kerja.

Pengambilan insurans dapat membantu pihak kontraktor dalam pelaksanaan projek kerana tidak terlalu dibebani dengan risiko yang boleh berlaku ditapak bina. Insurans Pampasan pekerja dapat memberikan perlindungan kepada pekerjanya sekiranya berlaku risiko yang mebabitkan pekerja. Insurans juga dapat membantu melindungi modal kerana pihak kontraktor tidak perlu membekukan modalnya semata-mata untuk menghadapi kemungkinan berlakunya risiko.

Insurans Islam (lebih di kenali dengan nama unik, Takaful) diwujudkan sebagai alternatif tanpa keraguan setelah dijalankan kajian menyeluruh oleh pakar perundangan Islam yang mendapati terdapat keraguan dalam pengurusan Insurans konvensional dari segi hukum Islam.

Terdapat beberapa perbezaan asas diantara insuran Islam dengan insuran konvensional.
a) Konsep kerjasama atau saling membantu
Dalam insurans Islam, peserta merelakan sebahagian daripada sumbangan takaful (premium dalam insuran konvensional) dikumpulkan kedalam akaun khas untuk membantu kalangan peserta yang ditimpa malapetaka. Syarikat takaful tidak menjadi penjamin atau pemikul risiko seperti amalan dalam insurans konvensional tetapi sebagai pengurus atau pemegang amanah dana bagi pihak semua peserta takaful. Risiko tidak berpindah kepada syarikat takaful seperti amalan insurans konvensional tetapi peserta bersama-sama bersetuju membantu melalui dana yang diwujudkan bersama.

b) Bebas riba’ (usury or interest free)
Dalam sistem takaful, Lembaga Pengawasan Syariah (Islamic Monitoring Panel) yang dianggotai oleh pakar-pakar perundangan dan muamalat Islam disamping Lembaga Pengarah Syarikat Takaful berperanan mengawal operasi syarikat secara keseluruhan supaya tidak bercanggah dengan hukum Islam. Setiap pelaburan syarikat diperincikan supaya selaras dengan kehendak muamalat Islam. Antaranya ialah tidak terlibat dengan kegiatan yang berunsur riba’ kerana diharamkan secara de facto oleh peraturan Islam.

Dalam sistem konvensional, kegiatan riba’ wujud pada setiap peringkat bermula dengan pengiraan premium hinggalah kepada pembayaran gantirugi (Afzalur-Rahman, 1991). Sebahagian besar pendapatan syarikat insurans konvensional ialah dividen dari dana (terkumpul daripada premium pemegang polisi) yang dilabur dalam pelaburan yang mengamalkan riba’ (interest).

c) Bebas dari unsur maisir
Maisir merujuk kepada semua bentuk mengaut kekayaan dengan kaedah peluang (chances atau probability) seperti loteri, tikam ekor, bertaruh atau berjudi. Dalam sistem konvensional syarikat insurans berperanan sebagai ‘bank pertaruhan’ yang menerima premium dari pemegang polisi dan membuat bayaran gantirugi sekiranya berlaku kerugian atau kemalangan keatas pemegang polisi.

Dalam sistem takaful, unsur maisir tidak wujud kerana pelaksanaannya adalah berteraskan kepada konsep menolong peserta lain yang terkena musibah (tabarru’). Sistem insurans Islam juga mengamalkan pembahagian keuntungan dan kerugian bersama (profit and loss sharing, al Mudharabah) diantara peserta dan syarikat takaful. Peserta akan memperolehi keuntungan daripada operasi syarikat takaful setelah ditolak segala tuntutan para peserta yang mengalami kemalangan.

d) Pengagihan keuntungan

Dalam sistem Islam, pihak syarikat sebagai pengusaha yang melaburkan dana dari sebahagian besar sumbangan peserta takaful akan membahagikan keuntungan kepada peserta dan syarikat berdasarkan nisbah yang dipersetujui . Hal ini tidak berlaku dalam sistem konvensional kerana keuntungan yang diperolehi dari operasi syarikat dianggap hak mutlak syarikat.

Perjalanan perniagaan insurans konvensional tertakluk kepada Akta Insurans 1963 (Akta 89). Sistem insurans Islam pula dikawal oleh Akta Takaful 1984 dan Akta Takaful (Pindaan) 1985.

4.0 Metodologi kajian

Kajian dijalankan dalam dua peringkat
a) Meliputi kontraktor kelas F
b) Meliputi kontraktor berbagai kelas.

Kajian (a) adalah berdasarkan 26 borang soalselidik yang dikembalikan oleh responden yang dikenalpasti secara rambang daripada keseluruhan 80 soalselidik yang dihantar secara pos.
Kajian (b) adalah berdasarkan 21 borang soalselidik yang dipulangkan oleh responden yang dikenalpasti secara rambang daripada 60 yang dihantar.
Analisis adalah menggunakan kaedah statistik kekerapan.

5.0 Penemuan


Kajian (a) mendapati

· Tahap penggunaan
Didapati peratusan responden yang pernah menggunakan insurans Islam ialah 35% dan tidak pernah menggunakannya 65%.

· Sebab utama penggunaan
Didapati sebab utama penggunaan ialah kesedaran terhadap unsur-unsur yang ditegah syarak sebanyak 46% diikuti kehendak klien 23%, berpuas hati dengan layanan 16% dan mudah diperolehi 15%.

· Sebab-sebab tidak menggunakan insurans Islam
Bagi responden (65%) yang tidak pernah menggunakan insurans Islam, sebab-sebabnya ialah seperti ditunjukkan dalam Rajah 3. Sebab-sebabnya ialah kurang pendedahan : 33%, sukar diperolehi : 33%, kehendak klien : 15% dan lain-lain (kurang kenalan, tiada wakil insurans berdekatan, bayaran premium mahal dan biasa dengan insurans konvensional) : 19%

· Bila mula menggunakan
Didapati majoriti 78% menggunakannya mulai 1993-1996 dan 22% menggunakannya mulai 1989-1992.

Kajian (b) mendapati

· Tahap penggunaan semua responden
Pernah menggunakan: 52%
Tidak pernah menggunakan : 48%

· Taburan Pengguna
Kelas F : 78%, Kelas B : 5%, Kelas BX : 5%, Kelas C : 5%, Kelas A, D, E : 0%

· Bila mula menggunakan
Mulai 1986-1988 : 11%
Mulai 1989-1991 : 11%
Mulai 1992-1994 : 11%
Mulai 1995-1998 : 67%

· Sebab utama penggunaan
Pilihan sendiri : 91%
Kehendak klien : 9%

· Penginsurans pilihan kontraktor
Syarikat Takaful Malaysia Bhd : 36%
Syarikat MNI Takaful Sdn Bhd : 55%

6.0 Limitasi penemuan

Oleh kerana kajian hanya menggunakan responden yang bilangannya tidak besar penemuan yang didapati hanya terhad kepada kepada kajian ini.

7.0 Kesimpulan


Walaupun secara keseluruhan tahap penggunaan insurans Islam mencapai 52% dikalangan semua kelas kontraktor, majoriti pengguna adalah dikalangan kontraktor kelas rendah. Dikalangan kelas terendah (kelas F) pun, majoriti masih belum menggunakannya. Sebab utama penggunaan insurans Islam ialah kesedaran sendiri terhadap unsur-unsur yang ditegah oleh agama dalam urusan perniagaan dan kehendak klien. Alasan utama tidak menggunakannya ialah kurang pendedahan, sukar diperolehi dan kehendak klien. Syarikat MNI Takaful Sdn Bhd lebih popular dikalangan kontraktor diikuti dengan Syarikat Takaful Malaysia Bhd. Penemuan ini boleh dimanfaatkan oleh syarikat insurans Islam sebagai peluang memasarkan produk mereka dikalangan kontraktor pembinaan. Program penerangan yang tersusun, menarik, agresif dan bersungguh-sungguh kepada masyarakat amnya (contohnya kempen ‘Minggu Perbankan Islam dan Takaful’ (Utusan Malaysia, 23 Oktober 2001, ms 25)) dan kepada syarikat kontraktor kelas tinggi serta klien khasnya akan dapat memberikan pendedahan dan kefahaman mengenai sistem Takaful. Matlamat usaha ini mestilah untuk mengekalkan hubungan dengan pelanggan sedia ada dan menarik pelanggan baru untuk mencuba dan kekal dengan produk yang setanding lagi halal serta mudah diperolehi oleh pelanggan. Syarikat insurans Islam wajar secara berterusan, dalam lingkungan yang diizinkan peraturan Islam, menilai dan membaiki kelemahan sendiri dan mencontohi kekuatan syarikat lain dalam memasarkan produk mereka. Persaingan harus dilihat bukan sekadar sesama syarikat insurans Islam tetapi juga syarikat insurans konvensional yang lebih terkedepan.

8.0 Rujukan

1. Afzalur-Rahman ( 1991). Doktrin Ekonomi Islam – Jilid IV. Kuala Lumpur : DBP. ms 22.
2. Hickson, R.J (1987). Construction Insurance. Bristol : J.W. Arrowsmith Ltd. pp1
3. Mohamad Muslehuddin (1988). Insurans dan Hukum Islam. Kuala Lumpur : DBP.
4. Mohd Fadzli Yusof (1996). Takaful : Sistem Insurans Islam. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors.
5. Utusan Malaysia , 16 Oktober 2001
6. Akta Insuran 1963
7. Akta Takaful 1984
8. Akta Takaful (Pindaan) 1985
9. Utusan Malaysia, 23 Oktober 2001

No comments: