Monday, January 5, 2009

Ubah Suai Sistem Tender

Oleh Mastura Jaafar

Banyak pihak menyokong usaha kerajaan untuk menstruktur semula Badan Pencegah Rasuah (BPR). Sudah tentu kerajaan menyedari penstrukturan semua adalah satu langkah yang amat penting untuk meningkatkan keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti awam dan kepercayaan rakyat.

Tahun demi tahun, di negara kita terdapat peningkatan kadar kesalahan yang bersabit dengan rasuah. Peningkatan kadar rasuah sebanyak 28 peratus dalam tempoh lima tahun adalah satu angka yang amat membimbangkan.

Dalam ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Forum Integriti ASEAN baru-baru ini menyatakan, sistem pemerolehan awam sedia ada dan prosedur menganugerahkan kontrak kerajaan penuh dengan peluang-peluang untuk rasuah.

Cuba kita perhatikan situasi dalam industri binaan terutamanya prestasi projek-projek kerajaan. Apakah punca-punca kegagalan projek-projek yang dilaksanakan oleh sektor awam seperti projek ibu pejabat Matrade (Malaysian External Trade Development Corporation), kelewatan penyiapan bangunan makmal komputer sekolah, keretakan dalam projek MRR2 (Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua), siling runtuh di beberapa bangunan kerajaan di Putrajaya, kegagalan reka bentuk bangunan hospital yang menimbulkan banyak masalah di peringkat penyelenggaraan dan yang paling terkini ialah kejadian bumbung sekolah runtuh di Terengganu.

Menurut jabatan Kerja Raya (JKR), sehingga tahun lepas, sebanyak 10 projek mega yang bernilai sehingga berbilion ringgit adalah antara 215 projek terbengkalai (Utusan Malaysia, 2 Februari 2007).

Bagaimana pula dengan isu rasuah dan kontraktor Alibaba yang berleluasa dalam industri binaan? Kedua-dua isu ini saling berkait dan menjadi punca utama kepada kegagalan projek dalam industri binaan. Apabila bajet yang diperuntukkan tidak dapat diagihkan kepada keseluruhan rantaian pembekalan daripada pihak kerajaan kepada kontraktor utama dan paling akhir kepada tenaga kerja, maka akan berlaku kepincangan dalam pelaksanaan kerja.

Isu keperluan untuk menangani rasuah pernah dibangkitkan oleh Persatuan Kontraktor Malaysia namun ia sukar untuk dibanteraskan tanpa penstrukturan semula sistem pemerolehan.

Isu ketirisan pemberian kontrak kerajaan di mana 85.37 peratus projek yang diberikan kepada bumiputera dalam tahun 2006 telah dilaksanakan oleh kaum lain. Masalah kelewatan pembayaran daripada kerajaan bagi tempoh 2000 sehingga 2006, menunjukkan kerajaan gagal membuat pembayaran berjumlah RM23.7 bilion kepada 18,000 kontraktor utama dan sub kontraktor yang telah melaksanakan projek-projek kerajaan.

Kewujudan kontraktor Alibaba yang 'dibenarkan' dalam industri telah meningkatkan bilangan kontraktor yang tidak aktif dan tidak berwibawa dalam industri pembinaan. Ketidakseimbangan antara bilangan kontraktor dengan penawaran kerja dalam industri telah menyebabkan hanya sebilangan kecil kontraktor yang mampu bersaing dalam industri.

Ternyata, terdapat kelemahan dalam sistem pemerolehan (tender) yang diamalkan oleh sektor awam sehingga membawa wujudnya pelbagai permasalahan dalam sektor ini.

Penstrukturan

Sejak sedekad lalu, isu penstrukturan semula sistem pemerolehan sektor awam telah dijadikan sebagai agenda penting di beberapa negara seperti Filipina, Bangladesh, Afrika Selatan, United Kingdom dan beberapa jabatan kerajaan di Amerika Syarikat.

Antara kepentingan penstrukturan semula sistem pemerolehan adalah untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan, nilai kewangan yang lebih baik dalam perbelanjaan kerajaan, mengurangkan birokrasi dan mewujudkan persekitaran persaingan yang sihat dan sebagainya.

Jika kita imbas balik sistem pemerolehan sektor awam yang digunakan sehingga hari ini, kita hanya mengambil dan mengubah suai sistem yang dibawa masuk oleh penjajah. Kita mungkin tidak sedar bahawa selama ini sistem pemerolehan tersebut tidak mengambil kira isu-isu setempat seperti budaya, sistem pentadbiran dan struktur autoriti sektor awam.

Oleh itu sistem ini telah mempunyai banyak lompang. Contohnya, kita sedia maklum bahawa penghijrahan besar-besaran kaum Cina daripada Tanah Besar Cina telah mewujudkan budaya perniagaan yang hebat. Mereka menguasai segala sektor daripada pengeluar produk binaan, pembekal bahan dan juga pembekal tenaga kerja.

Di sini kita perlu melihat di manakah kekuatan usahawan Melayu dan bagaimana mereka boleh bekerjasama dengan golongan Cina untuk turut maju.

Di sini penulis melihat kegagalan sistem pemerolehan asal menyebabkan semakin hari kian ramai mereka yang menjadi kontraktor hanya untuk mendapatkan komisen. Kerja-kerja pembinaan ditinggalkan kepada kontraktor lain. Ini menggalakkan berlakunya fenomena 'multi layer sub contracting' atau wujudnya beberapa kontraktor yang hanya mengambil komisen dalam satu kontrak.

Amalan ini akan menyebabkan pihak akhir dalam rantaian pembekalan hanya melaksanakan kerja dengan tahap keuntungan yang minimum atau langsung tidak mendapat sebarang keuntungan. Perkara inilah yang seterusnya akan mempengaruhi prestasi projek.

Salah satu isu utama perlu ditonjolkan ialah sistem dan budaya kerja sektor awam. JKR ialah satu jabatan yang mempunyai kewibawaan dan terlibat secara langsung dalam memberi sebarang nasihat teknikal kepada kerajaan.

Penyeliaan dalam tempoh pembinaan amat penting untuk memastikan kualiti kerja yang dihasilkan mengikut spesifikasi dalam kontrak. Apabila banyak kepincangan berlaku dalam pelaksanaan projek-projek sektor awam, kewibawaan jabatan ini telah dipersoalkan.

Adakah kegagalan projek sektor awam akan berlaku sekiranya setiap pihak mempunyai dan mengikuti etika kerja masing-masing? Pernah Menteri Jabatan Kerja Raya pada tempoh tersebut mengutarakan kemungkinan keperluan untuk JKR memulihkan moral kerja mereka untuk menjadi jabatan yang lebih cekap dan bertanggungjawab.

Bagaimanapun, etika dan integriti sukar dilaksanakan apabila sistem pemerolehan (tender/procurement) yang diamalkan membenarkan mereka mengambil peluang untuk mendapatkan kemewahan dan mengetepikan segala tanggungjawab hakiki mereka.

Sehingga hari ini, banyak usaha dibuat dalam usaha menangani masalah dalam industri. Contohnya JKR melaksanakan penyemakan suku tahunan dan mengenakan penalti bagi kontraktor yang gagal serta mewujudkan Jabatan Juruukur Bangunan untuk menyemak bangunan-bangunan yang telah siap bagi mengelakkan pelbagai masalah selepas pembinaan.

Kementerian Kesihatan pula menyediakan standard piawaian bagi kontrak dan penyelenggaraan projek-projek hospital supaya dipastikan hanya kontraktor yang berwibawa dilantik.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM) juga turut melancarkan Pelan Master Industri Pembinaan (CIMP) dalam usaha untuk menjadikan industri pembinaan Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Dalam CIMP, CIDB juga menggarislan keperluan untuk melihat semula sistem pemerolehan yang diguna pakai dalam industri. Model Terms of Construction Contract for Subcontract Work 2006 juga dilancarkan bagi mengatasi masalah isu pembayaran daripada kontraktor utama kepada sub kontraktor.

Namun bagaimana untuk menangani masalah pembayaran daripada kerajaan kepada kontraktor utama? Oleh itu, setiap jalan penyelesaian yang diutarakan hanya akan memberikan kesan sekiranya perkara yang menjadi akar umbi segala permasalahan diselesaikan dahulu.

Ternyata penstrukturan semula sistem pemerolehan amat penting dan perlu disegerakan untuk memulihkan imej sektor awam dan industri pembinaan. Kajian untuk melihat penstrukturan semula sistem pemerolehan dalam industri pembinaan telah dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama daripada beberapa profesional yang terlibat dalam industri pembinaan.

ARKIB : 28/04/2008
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Ulasan: Ke arah negara kita yang adil dan bebas rasuah.

No comments: