Tuesday, June 12, 2007

Sedikit Tentang Sejarah Ukur Bahan di Malaysia

Penyusun asal: Asmah Alia Mohd Bihari, Leong Lee Lee & Mani Malar Moli a/p Natchiappan

Profesion ukur bahan telah wujud di Malaysia pada awal tahun 1930. Firma ukur bahan pertama ditubuhkan di kawasan ini ialah firma perunding ukur bahan Waters and Watsons iaitu pada tahun 1934.

Setelah perang dunia ke-2, barulah profesion ukur bahan berkembang di Malaysia. Kerajaan yang ada waktu itu menubuhkan Bahagian Ukur Bahan dalam Jabatan Kerja Raya tetapi tugas-tugas Juruukur Bahan adalah terhad. Juruukur Bahan pada masa itu adalah di bawah Jabatan Arkitek dan bertugas sebagai Pegawai Kontrak. Juruukur Bahan pada masa itu bertindak sebagai Pegawai Kontrak untuk memanggil tender dalam bentuk harga pukal (lump sum), menguruskan kontrak dan menyediakan akaun muktamad sesuatu projek

Pada tahun 1952, barulah ukur bahan mempunyai cawangannya sendiri di Jabatan Kerja Raya. Tidak ada sistem pembelajaran yang spesifik sehinggalah pada tahun 1953. Pada masa itu, pelatih jurutenik ukur bahan terpaksa belajar dari Juruukur Bahan asing, kebanyakan warganegara British, yang ada di Jabatan Kerja Raya dan melalui pengalaman mereka bekerja.

Pada tahun 1953, Maktab Teknik (di tukarkan menjadi Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) pada 1972) telah ditubuhkan dan kursus Diploma Ukur Bahan adalah merupakan salah satu kursus yang diadakan khas untuk menyediakan Pembantu Teknik Ukur Bahan untuk berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya. Pensyarah yang mengajar adalah pensyarah sambilan. Skop kursusnya adalah hampir sama dengan kursus Senibina dan kursus Kejuruteraan Awam iaitu dari segi matapelajaran Pembinaan Bangunan.
Penuntut–penuntut yang mendapat Diploma Ukur Bahan akan dihantar melanjutkan pelajaran di luar negara. Sebahagiannya pula dihantar bekerja di Jabatan Kerja Raya.

Selepas perang dunia ke-2, firma-firma ukur bahan yang awal yang wujud di Malaysia ialah pada tahun 1958 iaitu firma ukur bahan Frank and Vargeson dan diikuti oleh Chris and Cavanaugh dan seterusnya ialah Bridge Water and Coulton. Pada tahun 1963, firma ukur bahan Suckling and Mcdonald telah ditubuhkan dan terdiri daripada Juruukur Bahan K.A Suckling dan J.H Mc Donald.

Pada tahun 1965, seorang Juruukur Bahan Bumiputera, Haji Md Isahak Md Yusuf (sekarang Datuk) merupakan seorang Juruukur Bahan Melayu yang pertama memasuki sektor swasta. Haji Mohd Isahak menubuhkan firma Ukur Bahan bumiputera yang pertama di Malaysia.

Seterusnya, aktiviti pembinaan berkembang dengan pesatnya di Malaysia, firma ukur bahan juga berkembang dengan pesatnya. Sehingga kini perkembangan firma perunding ukur bahan adalah di tahap yang baik. Kalau dulu hanya di bandar besar sahaja yang terdapat pejabat perunding ukur bahan tetapi kini berkembang ke mana-mana.

Institusi–institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan kursus ukur bahan pada peringkat Sarjana Muda, Diploma dan Sijil juga meningkat.

Universiti Teknologi Malaysia (dulu Institut Teknologi Kebangsaan) merupakan pelopor kursus bidang ukur bahan di Malaysia dan di ikuti oleh Universiti Teknologi MARA (dulu Institut Teknologi MARA). Di kedua-dua universiti kursus di tawarkan meliputi peringkat Diploma dan Sarjana Muda. Sementara itu Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa juga kini menawarkan kursus ukur bahan pada peringkat Sarjana Muda sahaja. Politeknik awam setakat ini hanya menawarkan kursus ukur bahan pada peringkat Diploma dan Sijil.

Pada hari ini, profesion Juruukur Bahan semakin di kenali di kalangan masyarakat dan perkhidmatannya adalah mendapat sambutan yang menggalakkan. Dulu beberapa orang pelajar Indonesia telah mengikuti kursus ukur bahan di ITM dan UTM. Akhirnya Universiti Teknologi Malaysia (melalui Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina)
telah berjaya memperkenalkan kursus ukur bahan (di kenali sebagai Teknik Ekonomi Konstruksi) di negara jiran Indonesia melalui kerjasama Universitas Bung Hatta, Padang melalui Fakultas Teknik Sipil dan Perencanaan) pada peringkat Diploma mulai 2002.

3 comments:

Anonymous said...

menarik

nainch said...

terima kasih kpd saudara yg sudi berkongsi ilmu UKUR BAHAN ini kpd semua...blog saudara sering saya jadikan tempat mencari info tentang QS semasa sy belajar dlm jurusan UKUR BAHAN ini..

ukur bahan : quantity surveying said...

Dear Nainch

Alhamdulillah, tq kerana sudi melawat.
Terlalu sedikit untuk membantu future Quantity Surveyors.

Apa2 cadangan...plse beritahu ye.