Sunday, May 25, 2008
Mengakibatkan Pengurangan Dalam Pelaburan Domestik dan FDI - Rasuah dari Sudut Ekonomi
Penulis Tamu Oleh Dr. Mohd. Haflah Piei
SALAH satu daripada iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dari hari pertama beliau mengambil alih tampuk kerajaan negara ialah untuk mencegah dan seterusnya membasmi amalan rasuah di kalangan masyarakat di negara ini. Walaupun penyakit rasuah di Malaysia tidaklah seteruk yang terdapat di kebanyakan negara membangun seperti di Filipina, Bangladesh, Pakistan dan negara-negara dalam peralihan, tetapi ia perlu disekat sebelum merebak. Pada tahun 2003, mengikut Transparency International, Malaysia menduduki tempat ke-37 dari segi tahap amalan rasuah - satu kedudukan kurang selesa sementara negara Finland menduduki tempat pertama dan terbaik.
Namun, tidak banyak yang membincangkan tentang ekonomi atau lebih tepat lagi disekonomi amalan rasuah tersebut. Perbincangan atau kajian tentang ekonomi rasuah ini termasuk isu-isu penting tentang sumber dan punca rasuah dari perspektif ekonomi, kesan atau kos amalan rasuah ini ke atas firma, industri dan ekonomi negara serta kesan ke atas individu dan masyarakat.
Di sebaliknya kebanyakan isu rasuah dibincangkan dari sudut moral dan etika amalan tersebut. Oleh sebab itu, rencana ini akan membincangkan amalan rasuah dari perspektif ekonomi secara ringkas.
Sebenarnya, konsep rasuah ini bersifat multifaceted, melibatkan berbagai-bagai unsur dan bentuk. Secara umum ia dianggap sebagai penyalahgunaan kedudukan, awam dan tidak kurang juga swasta, bagi keuntungan persendirian. Ia lebih cenderung berlaku apabila individu menganggap kedudukan yang diperoleh sebagai satu peluang untuk membuat keuntungan peribadi dan bukan sebagai tanggungjawab dan amanah beberapa pihak yang perlu dipikul dan dipenuhi.
Di antara jenis rasuah, terdapat tiga jenis yang penting serta diberi penekanan. Ini termasuk rasuah pentadbiran (administrative corruption), rasuah dalam urusan perolehan awam (public procurement corruption) dan rasuah dalam bentuk `penawanan' beberapa institusi negara (state capture).
Rasuah pentadbiran merujuk kepada penguatkuasaan dan pelaksanaan secara menyeleweng dan secara sewenang-wenang peraturan, undang-undang dan garis panduan, yang berkuat kuasa oleh kakitangan awam bagi tujuan memperoleh keuntungan peribadi secara haram. Ia diukur dengan berbagai-bagai petunjuk seperti peratusan bayaran rasuah berbanding dengan jualan hasil yang diperoleh. Lagi berat undang-undang dan peraturan yang dilanggar lagi tinggi jumlah rasuah yang perlu dibayar.
Rasuah perolehan awam pula merupakan suatu dimensi penting rasuah yang melibatkan agihan/peruntukan kewangan dan sumber awam ataupun kerajaan. Ia kerap diukur sebagai peratusan bayaran rasuah untuk mendapatkan sesuatu kontrak kerajaan.
Rasuah dalam bentuk penawanan beberapa institusi negara (state capture corruption) merupakan beberapa tindakan ejen-ejen ekonomi atau firma dalam sektor awam atau swasta untuk mempengaruhi penggubalan serta pelaksanaan undang-undang, peraturan, arahan (decrees) dan lain-lain dasar kerajaan supaya memihak serta menguntungkan mereka dengan memberi sogokan kewangan.
Di antara institusi yang kerap menjadi target termasuklah akta-akta parlimen, peraturan bank pusat, perundangan dengan cuba mempengaruhi keputusan-keputusan mahkamah sivil ataupun perdagangan; parti politik selalunya parti yang memerintah dengan memberi sumbangan kewangan untuk membiayai aktiviti parti berkenaan.
Dalam semua keadaan, amalan rasuah melibatkan kos sama ada dalam bentuk peningkatan dalam perbelanjaan awam, pembaziran sumber, peningkatan dalam kos urus niaga, pengurangan dalam keluaran, kemerosotan dalam kualiti infrastruktur dan perkhidmatan dan sebagainya.
Mengikut beberapa kajian, rasuah mengakibatkan salah agihan kemahiran dan bakat (misallocation of talent) termasuk masalah guna tenaga tidak penuh beberapa golongan kemahiran yang penting dalam sesuatu masyarakat. Kita kerap mendengar, melalui rasuah seseorang diberikan jawatan yang kanan ataupun tugasan yang lumayan di samping menyekat peluang yang sama kepada individu lain yang lebih berkebolehan dan berkelayakan. Akibatnya hasil kerja yang diperoleh selalunya lebih inferior dibandingkan jika ia dilakukan oleh individu yang lebih cekap dan berkebolehan.
Rasuah cenderung mengakibatkan pengurangan dalam pelaburan domestik dan pelaburan asing langsung (FDI). Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi pelaburan terutama pelaburan langsung asing. Selain daripada insentif pelaburan yang ditawarkan, faktor-faktor lain termasuklah kos buruh, sumber asli tempatan, saiz pasaran domestik dan juga kecekapan urus tadbir (governance) ekonomi dan kerajaan yang meliputi juga tahap rasuah, birokrasi dan red tape. Dalam keadaan sesebuah ekonomi yang menghadapi masalah urus tadbir yang teruk, birokrasi dan red tape yang membebankan serta tahap rasuah yang kronik, kos pelaburan selalunya meningkat. Akibatnya pelaburan akan berkurangan kecuali para pelabur diberikan insentif seperti pelepasan cukai yang lumayan.
Dalam keadaan di atas negara menanggung dua jenis kerugian: Pertama, rasuah yang dibayar oleh pelabur dan kedua, jumlah cukai yang dilepaskan oleh kerajaan. Jika urus tadbir diperbaiki serta rasuah dibanteras, kedua-dua kerugian tersebut dapat diatasi.
Mengikut satu kajian, jika Filipina boleh mengurangkan rasuah kepada tahap yang terdapat di Singapura, ia akan dapat meningkatkan nisbah pelaburan kepada KDNKnya sebanyak 6.6 mata peratusan. Dalam kajian yang sama, bagi sebuah negara yang korup, kesan mengurangkan amalan rasuah adalah sama dengan kesan pengurangan cukai korporat melebihi 20 mata peratusan dalam usaha untuk menarik pelaburan. Dalam erti kata lain, dengan mengawal amalan rasuah, sesebuah negara yang korup mampu menarik sejumlah pelaburan asing yang sama tanpa memberikan pelepasan cukai yang lumayan hanya dengan mengawal amalan rasuah.
Rasuah juga kerap mengakibatkan herotan (distortion) dalam perbelanjaan dan pelaburan awam serta kemerosotan kualiti infrastruktur fizikal seperti jalan raya, jambatan, pelaburan dan sebagainya berasaskan kepada beberapa pertimbangan.
Pertama, rasuah lebih cenderung untuk meningkatkan perbelanjaan awam melebihi daripada yang diperlukan. Lagi besar perbelanjaan awam sesebuah projek awam, lagi luas ruang untuk para pegawai tinggi kerajaan yang tidak jujur memanipulasikan keadaan.
Kedua, projek-projek raksasa yang melibatkan pembinaan infrastruktur lebih disukai daripada projek-projek untuk pembangunan luar bandar, sektor pertanian dan pembasmian kemiskinan. Ini disebabkan skop untuk melakukan rasuah adalah lebih luas dan lumayan lagi. Ini sudah tentu mempunyai kesan ke atas pendapatan, kebajikan serta kualiti hidup penduduk luar bandar dan golongan miskin.
Ketiga, perbelanjaan kendalian, operasi serta penyelenggaraan alat-alat jentera dan lain-lain aset kerajaan kurang diminati daripada perbelanjaan pembelian mesin dan peralatan baru.
Keempat, amalan rasuah lebih cenderung untuk mengurangkan hasil kerajaan akibat daripada pelepasan cukai yang diberikan sebagai insentif pelaburan dan pengelakan daripada membayar cukai dengan merasuah pegawai-pegawai berkenaan.
Mengikut satu kajian, peningkatan dalam rasuah dari tahap yang terdapat di Singapura kepada tahap yang terdapat di Pakistan akan menyebabkan peningkatan nisbah perbelanjaan kepada KDNK sebanyak 1.6 mata peratusan di samping mengurangkan nisbah hasil kerajaan kepada KDNK sebanyak 10 mata peratusan.
Akhir sekali, amalan rasuah memperlahankan malah membantutkan pertumbuhan sesebuah ekonomi. Sebagai contoh, jika dalam tempoh 1960-85, Bangladesh dapat mengurangkan rasuah kepada tahap Singapura dalam tempoh tersebut, kadar pertumbuhan per kapita tahunan Bangladesh sebanyak 4 peratus boleh ditingkatkan sebanyak 1.8 mata peratusan iaitu bersamaan peningkatan sebanyak 50 peratus daripada kadar pertumbuhan per kapita yang benar-benar dicapai dalam tempoh tersebut. Satu peluang yang terlepas begitu sahaja kerana ia gagal untuk membanteras rasuah!
Sebenarnya terdapat banyak lagi kesan ekonomi atau kos akibat berlakunya rasuah dalam ekonomi. Memadai dengan perbincangan di atas. Walaupun ia kurang merujuk kepada keadaan rasuah di Malaysia, ia sudah cukup untuk menjadi renungan kita berhubung dengan beberapa jenis rasuah yang sedikit sebanyak terdapat di Malaysia dan betapa buruknya kesan rasuah tersebut kepada ekonomi negara.
Persoalannya sekarang bagaimana hendak mengurangkan dan jika boleh membasmi gejala rasuah ini?
Dalam ruang yang terhad ini, digariskan secara kasar strategi-strategi yang perlu diambil untuk menggarap masalah rasuah ini. Beberapa strategi tersebut telah dan sedang dilaksanakan di Malaysia, seperti pengisytiharan aset oleh pegawai-pegawai kerajaan dari semasa ke semasa; memperbaiki urus tadbir kerajaan supaya lebih telus, sistematik, cekap dan profesional; mewujudkan beberapa sistem check and balance; membina sistem pentadbiran awam yang berorientasikan perkhidmatan dan meritokrasi; kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan perbelanjaan awam; kebertanggungjawaban pemimpin-pemimpin politik; pegangan teguh kepada rule of law dan sebagainya.
Namun, strategi-strategi tersebut bukan setakat adanya sahaja tetapi lebih penting ia dilaksanakan sepenuhnya serta kelihatan oleh masyarakat dilaksanakan dengan cekap dan adil. Sebagai contoh kita ada peraturan pengisytiharan harta oleh pegawai kerajaan tetapi sejauh mana ia benar-benar berkesan untuk membasmi amalan rasuah? Kita mempunyai Badan Pencegah Rasuah (BPR) tetapi sejauh mana ia benar-benar bebas berfungsi tanpa mengira bulu?
Jika kita renung-renung dengan teliti, kita akan dapat lihat banyak perkara yang berunsurkan rasuah tetapi disebabkan sudah menjadi kebiasaan maka ia tidak lagi dianggap rasuah malah digalakkan. Disebabkan biasa tegal bisa.
Sukar ditentukan di mana urusan rasmi berakhir dan rasuah bermula dan di mana sumbangan dan bantuan ikhlas berakhir dan rasuah bermula. Pendek kata, amalan rasuah dalam berbagai-bagai manifestasi, sebab dan akibat perlu diuraikan (unbundle) ditakrifkan dan difahami dari segi konsep dan empiris dalam usaha untuk memerangi gejala rasuah ini. Dalam konteks ini, penubuhan Akademi Anti Rasuah amat bertepatan pada waktu dan ketikanya, dan ia amat dialu-alukan.
Dr. Mohd. Haflah Piei ialah Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER). Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel haflah@mier.po.my
Punca: http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2003&dt=1221&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_05.htm&arc=hive

Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment